fbpx

Sumayyah binti Khayyat merupakan bukti yang nyata atas perjuangan orang Muslim dalam membela agama Allah. Ia merupakan wanita pertama yang dinyatakan mati syahid pada zaman Rasulullah SAW.

Pengorbanan beliau adalah simbol kebesaran Islam dan menjadi teladan kepada semua umat.

Keluarga Yassir yang terawal menyahut Islam

Sumayyah hidup sebatang kara dan merupakan hamba kepada Abu Huzaifah bin Al-Mughirah iaitu seorang pembesar Quraisy. Ia telah menetap bersama Abu Huzaifah sejak dari kecil lagi memandangkan beliau seorang anak yatim piatu.

Beliau bernikah dengan lelaki yang bernama Yassir bin Amir al-Kinani. Lalu mereka dikurniakan seorang putera bernama Ammar bin Yassir.

Pada suatu ketika, Nabi Muhammad SAW datang menyebarkan syiar Islam yang dijalankan secara bersembunyi. Ammar yang ketika itu sedang meningkat dewasa sangat suka mendengar dakwah daripada Rasulullah SAW.

Ammar juga telah memilih untuk memeluk Islam dan mengucapkan syahadah. Kemudian ammar berdakwah dan mengajak ibu bapanya untuk memeluk agama Islam. Hingga akhirnya mereka menjadi pengikut Nabi Muhammad SAW dan disambut gembira oleh seluruh kaum muslimin dengan Islamnya keluarga Yassir.

Akan tetapi berita pengislaman keluarga Yasir ini didengar oleh Bani Makhzum. Mereka murka kerana merasa dikhianati dan bersumpah untuk membunuh keluarga Yasir, kecuali jika mereka kembali menyembah berhala.

Kisah Sumayyah diseksa dengan kejam

Kaum Bani Mahzum menangkap Sumayyah bersama anak dan suaminya, lalu diseret ke tengah padang pasir dengan kaki dan tangan mereka yang diikat.

Setelah itu, mereka dipakaikan dengan baju besi dan dijemur di bawah terik mentari, tanpa diberikan air sedikitpun hingga dicambuk berkali-kali. Seksaan tersebut dilakukan berulang kali setiap harinya.

Mereka diseksa dengan kejam tanpa belas kasihan daripada orang kafir itu. Seksaan Sumayyah lebih teruk lagi di mana beliau ditabur dengan pasir yang panas dan diletakkan batu besar di atas tubuhnya.

Sumayyah juga diberi pilihan oleh Abu Jahal, jika beliau murtad maka akan selamat dan dibebaskan. Namun jika tetap memilih Islam, maka beliau akan terus diseksa.

Namun, keimanan beliau kepada Allah mengatasi segala-galanya dan beliau tidak pernah merintih kesakitan. Sebaliknya, perkataan yang dikeluarkan dari mulut beliau hanya “Ahad! Ahad! Ahad!” iaitu Allah Yang Satu.

Rasulullah yang melintasi tempat itu bersimpati dengan nasib Sumayyah dan keluarganya.

Lalu Baginda bersabda: “Bersabarlah keluarga Yasir. Sesungguhnya janji kamu nanti adalah di syurga”. Selepas mendengar bisikan daripada Rasulullah SAW, mereka tenang dan gembira.

Kemudian datang Abu Jahal yang memaki dan mencerca Sumayyah. Serta menyuruh beliau untuk kembali kepada agama nenek moyangnya dan menyembah berhala.

Namun Sumayyah hanya membalas cercaan tersebut dengan kata-kata yang sangat menyakitkan hati Abu Jahal, serta menyatakan yang beliau tetap berpegang teguh kepada keimanannya.

“Apakah hanya ini yang mampu engkau lakukan? Sesungguhnya azab yang pedih di neraka lagi kekal telah menanti mu, Wahai musuh Allah!” kata Sumayyah

Mendengar kata-kata Sumayyah itu, ia menaikkan lagi kemarahan Abu Jahal. Lalu Sumayyah disula (ditikam) pada bahagian rahim dengan tombak sehingga tembus ke bahagian lehernya.

Akhirnya gugurlah Sang Mujahidah, Wanita pertama yang syahid dalam Islam. Suaminya, Yasir turut terkorban selepas kematian Sumayyah.

Ammar yang menyaksikan gugur syahid kedua-dua orang tuanya itu, masih tetap kuat dan tabah mempertahankan akidahnya.

Sehinggalah satu hari Ammar dilepaskan dan beliau segera bertemu Rasulullah S.A.W dalam keadaan yang sangat sedih.

Baginda lalu bertanya “Wahai Ammar, keresahan apakah yang sedang engkau bimbangi?”

“Ya Rasulullah, ketika aku diseksa oleh musuh-musuh Allah dengan seksaan yang aku tidak mampu lagi untuk menahannya. Mereka menyimbah minyak ke tubuhku lalu membakar seluruh tubuhku sehingga aku tidak mampu menanggungnya dan terkeluar kata-kata kufur dan menghina engkau Ya Rasulullah.” Kata Ammar.

Baginda lantas bertanya, “Bagaimanakah hatimu semasa keluar kata-kata kufur itu?”

Ammar menjawab, “Ketika itu hatiku tetap teguh dengan keimanan dan kepercayaanku hanya kepada Allah dan Rasul.”

Maka baginda berkata “Sekiranya begitu, tidak ada masalah. Sesungguhnya kamu tidak bersalah.”

Allah S.W.T telah memuliakan Ammar melalui Surah Al-Nahl ayat 106, yang bermaksud: “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman.”

Manakala, Abu Jahal pula akhirnya menemui ajal dalam Perang Badar selepas bertarung dengan tentera Islam.

Untuk perkongsian yang lebih menarik dan bermanfaat jom join Channel Telegram Sedekah Muslim 👉 https://t.me/sedekahmuslim 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Penyelesaian Sumbangan Konsisten Platform Sumbangan Secara Auto​

jadi orang terawal untuk buat sumbangan auto bulanan

Maklumat Anda
Pilihan Infaqpay Yang Sedia Ada