fbpx

Sebelum kita bercerita tentang gelaran istimewa tersebut, apa kata kita kenali dulu susuk tubuh insan mulia ini. Mungkin nama Talhah ni jarang sangat diceritakan berbanding sahabat-sahabat Nabi yang lain, namun Talhah juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Siapa Talhah Bin Ubaidillah?

Talhah bin Ubaidillah merupakan salah satu di antara para sahabat yang terawal masuk Islam dan juga salah seorang dari 10 sahabat yang telah dijamin oleh Rasulullah SAW bagi mereka memasuki syurga tanpa perlu dihisab. Kedudukannya terletak selepas Sayyidina Ali.

Beliau dilahirkan di Kota Mekah pada tahun ke-27 setelah tahun gajah, atau pada tahun 597 Masihi.

Suatu hari, ketika Talhah berada di Busra atas tujuan perniagaan, datang seorang rahib ke pasar dan bertanya tentang Nabi.

Lalu rahib itu berpesan kepada Talhah, “Pergilah kepadanya wahai pemuda..,”

Talhah pulang meninggalkan rombongannya dan terus mencari Nabi yang dimaksudkan. Beliau menemui sahabatnya Abu Bakar as-Siddiq yang terlebih dahulu sudah memeluk Islam. Abu Bakar meyakinkan Talhah dan kemudian membawa Talhah berjumpa Rasulullah. Akhirnya beliau mengucapkan syahadah di hadapan Baginda SAW.

Ibu Talhah Menentang Pengislaman Anaknya

Selepas Talhah memeluk Islam, orang yang paling marah dengan keislamannya adalah ibunya sendiri. Ibunya sanggup memanggil para pembesar Quraisy untuk memurtadkan Talhah kembali dengan pelbagai tawaran. Namun, Talhah tetap tidak berganjak.

Setelah cara lembut tidak menjadi, mereka menggunakan kekerasan. Suatu hari Talhah diikat daripada tangan ke leher, disuruh berlari sambil dikejar oleh sekumpulan lelaki. Ada yang menolak tubuhnya, ada yang memukul kepalanya. Di belakang sekali adalah seorang perempuan tua yang tidak henti-henti mencerca dan mengejinya. Itulah ibunya Su’bah binti al-Hadrami.

Tidak cukup dengan itu, diikat pula tubuh Talhah bersama Abu Bakar as-Siddiq, lalu diserahkan kepada samseng-samseng Quraisy untuk dibelasah.

Namun dari hari ke hari, semua itu cuma menambahkan keimanannya.

 

Talhah Si Syahid Yang Hidup

Talhah digelar sebagai ‘Syahid Yang Hidup’. Beliau mendapat gelaran itu bermula dalam perang Uhud. Ketika tentera musyrikin berjaya menawan bukit Rummah, tempat pemanah Islam berkubu dan membunuh semua mereka, tentera musyrikin menuju pula ke arah Rasulullah SAW.

Ketika itu, Rasulullah di atas bukit itu dan hanya tinggal Talhah bersama 11 orang Ansar yang lain.

Rasulullah SAW bersabda:

“Siapakah di antara kalian yang mahu mempertahankan kita, lalu akan menjadi temanku di syurga kelak?”

“Aku”, jawab Talhah pantas.

“Kamu tunggu dahulu. Ada sesiapa di kalangan Ansar?” Balas Rasulullah.

Seorang lelaki Ansar menyahut. Rasulullah membenarkan lalu beliau pergi ke arah musuh, bertempur mempertahankan yang lain sehingga gugur syahid.

Baginda menawarkan lagi tawaran yang sama:

“Siapakah di antara kalian yang mahu mempertahankan kita, lalu akan menjadi temanku di syurga kelak?”

“Aku”, Talhah sekali lagi menyahut.

Namun Baginda SAW sekali lagi menolak dan meminta kaum Ansar dahulu. Begitulah keadaannya sehinga satu persatu Ansar menyahut dan semuanya gugur syahid.

Setelah tidak ada lagi orang selain Talhah, Baginda bersabda:

“Sekarang giliranmu Talhah.”

Tanpa berlengah, Talhah terus mara melawan musuh. Lama beliau bertarung menghalang musuh daripada mendekati Rasulullah.

Akibat pertarungan itu, tubuhnya habis berlumuran dengan darah. Di badannya penuh dengan luka bekas pelbagai senjata musuh, lebih daripada 70 luka libasan pedang, tikaman tombak dan tusukan panah. Pergelangan tangannya juga telah putus dipotong lalu jatuh ke dalam lubang dan terus terkambus. Tetapi beliau terus bertarung mempertahankan Rasulullah, sehingga datang bantuan dari Abu Ubaidah al-Jarrah dan Abu Bakar as-Siddiq.

Kerana peristiwa itu, Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa mahu melihat seorang syahid yang masih berjalan di atas muka bumi ini, maka lihatlah kepada Talhah bin Ubaidillah!”

Apabila Abu Bakar as-Siddiq menceritakan tentang perang Uhud, pasti akan berkata:

“Seluruh hari itu adalah milik Talhah.”

Disebabkan itu, tidak musykil lagi Talhah menjadi antara 10 sahabat dijanjikan syurga, sebagaimana diriwayatkan dalam sebuah hadis.

Talhah menjadi contoh pejuang Islam yang sebenar. Tatkala beliau menyahut setiap seruan Nabi SAW untuk menjadi teman Baginda di syurga, membuktikan ketulusan niatnya dalam perjuangan. Hanya menuntut syurga dan redha Allah semata-mata.

Moga-moga kita turut mengambil iktibar dan menjadikan Talhah sebagai inspirasi dalam memperjuangkan agama Islam. Untuk anda yang ingin mengetahui lebih banyak ilmu, jemput cepat-cepat join Channel Telegram SedekahMuslim.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Penyelesaian Sumbangan Konsisten Platform Sumbangan Secara Auto​

jadi orang terawal untuk buat sumbangan auto bulanan

Maklumat Anda
Pilihan Infaqpay Yang Sedia Ada