fbpx
LOGO-DI-WEBSITE-
ORANG YANG BERSEDEKAH AKAN MENDAPAT NAUNGAN DI HARI AKHIRAT

ORANG YANG BERSEDEKAH AKAN MENDAPAT NAUNGAN ALLAH DI HARI AKHIRAT

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda berkenaan 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan di hari akhirirat salah satunya adalah:

ورجلٌ تصدَّق بصدقةٍ فأخفاها حتى لا تعلمَ شمالُه ما تنفقُ يمينُه

Yang bermaksud: “Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (Riwayat al-Bukhari)

HARI AKHIRAT

Beriman kepada hari Akhirat merupakan salah satu daripada rukun iman yang kelima dan menjadi perkara utama dalam aqidah Islam, malahan sebagai unsur terpenting dalam keimanan kerana Allah Taala sering menghubungkan tuntutan keimanan kepadaNya dengan hati Akhirat di dalam kebanyakan firman-firmanNya.

Dinamakan hari akhirat yang mengandungi dua erti iaitu menunjukkan seluruh alam cakerawala dan kehidupan ini akan berakhir secara keseluruhannya. Kedua, ianya menunjukkan kedatangan dan permulaan hari akhirat. Oleh itu, perkataan hari akhirat menandakan berakhirnya segala kehidupan di alam ini, manakala pada kehidupan di akhirat bererti ia adalah hari permulaan dan terakhir dan tidak ada satu hari pun selepas hari ini.

Sayyid Sabiq mendefinisikan hari akhirat sebagai hari di mana seluruh alam ini dimusnahkan dan kemudian diciptakan kehidupan akhirat serta seluruh manusia untuk kali kedua bagi menghadapi perhitungan dan pembalasan apa yang telah mereka kerjakan semasa hidup di dunia dahulu.

Allah telah menyatakan dalam al-Quran tentang kewujudan hari akhirat dalam surah al-Haj ayat ke-7:

وَأَنَّ ٱلسَّاعَةَ ءَاتِيَةٌۭ لَّا رَيْبَ فِيهَا وَأَنَّ ٱللَّهَ يَبْعَثُ مَن فِى ٱلْقُبُورِ ٧

Maksudnya: “Dan sesungguhnya hari dihidupkan kiamat itu pasti datang, tidak ada keraguan padanya, dan bahawasanya Allah membangkitkan semua orang di dalam kubur.”

Jelas daripada ayat ini bahawa kita akan dibangkitkan kelak pada hari akhirat. Timbul persoalan bagaiamanakah keadaan manusia ketika itu setelah dibangkitkan?

GAMBARAN MANUSIA DI HARI AKHIRAT

Kemudian digambarkan pada hari kiamat itu tentang manusia yang berada dalam kegoncangan, kebingungan dan kelalaian yang telah mencapai ke puncaknya. Sehinggakan ibu yang sedang menyusukan anaknya lalai terhadap anak yang sedang disusunya, padahal anak itu merupakan sesuatu yang merupakan paling berharga kepadanya. Bayangkan bagaimana seorang ibu lalai terhadap anaknya?

Manakala setiap wanita yang hamil akan mengalami keguguran iaitu janin yang di dalam rahimnya gugur sebelum tibanya waktu bersalin kerana takut terhadap hari kiamat. Al-Hasan ada mengatakan bahawa wanita yang menyusukan anaknya leka hingga berhenti daripada menyusui anaknya, manakala wanita hamil pula telah gugur kandungannya sebelum tiba waktunya melahirkan.

Pada hari itu, kamu dapat melihat manusia seolah-olah mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk. Tetapi keadaan itu berlaku kerana azab yang amat dahsyat sehingga akan mereka menjadi tidak sedar dan tidak mampu membezakan di antara yang batil dengan yang benar. Kelalaian ibu yang sedang menyusui dan keguguran kandungan wanita yang sedang hamil boleh jadi dimaksudkan sebagai perumpamaan untuk menunjukkan dahsyatnya apa yang berlaku pada hari itu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4516-1518)

Sayyid Qutb berkata: Demikianlah dimulakan surah ini dengan ancaman dan penerangan secara umum yang membayangkan suasana dahsyat yang tidak dapat diungkapkan. Ia hanya mengatakan satu kejadian gempa dan kejadian gempa itu adalah suatu peristiwa yang amat besar tanpa memberi sesuatu penentuan dan sesuatu takrif.

Kedahsyatan peristiwa itu menyebabkan seseorang itu menjadi lupa, kebingungan dan tidak sampai ke mana-mana. Ia merupakan satu peristiwa dahsyat yang tidak dapat diukur dengan saiz besarnya, tetapi dapat diukur dari kesan-kesannya yang dahsyat pada jiwa manusia iaitu pada hati ibu-ibu penyusu yang lupakan anak-anak susuan mereka, sedangkan seseorang ibu penyusu tidak lupakan anak susuannya yang sedang menyusu melainkan apabila dia berada dalam keadaan terlalu takut, yang menghapuskan segala saki-baki kesedarannya. Kesan-kesannya yang dahsyat itu juga dapat dilihat pada hati ibu-ibu hamil yang keguguran anak-anak kandung mereka dan pada hati manusia yang kelihatan mabuk, sedangkan mereka tidak mabuk. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 11/127-128)

7 GOLONGAN YANG MENDAPAT NAUNGAN ALLAH DI HARI AKHIRAT

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Ada tujuh golongan yang Allah melindungi mereka dalam lindungan-Nya pada hari kiamat, di hari ketika tiada perlindungan selain perlindungan-Nya, iaitu: imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa dalam beribadat kepada Allah, seseorang yang sentiasa mengingat Allah ketika bersendirian sehingga berlinangan air mata, seseorang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, seseorang yang diajak berzina oleh wanita bangsawan dan rupawan, namun ia menjawab, “Saya takut kepada Allah” serta seseorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi, sehingga tangan kirinya tidak tahu terhadap amalan tangan kanannya.” (HR Bukhari)

Disebutkan daripada hadith ini ada 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah di hari Akhirat:

  • Pemimpin Yang Adil

Pemimpin ialah mereka yang mempunyai kekuasaan untuk urusan pengikutnya seperti presiden, perdana menteri, ketua organisasi, ketua keluarga (seorang ayah) dan seterusnya. Apa sahaja jawatan yang dipegang oleh seseorang untuk menguruskan urusan manusia, dialah seorang pemimpin.

Adil pula ialah pematuhan terhadap syariat. Tidak melampaui batas yang telah ditetapkan oleh Allah. Seorang pemimpin tidak boleh berlaku zalim kepada pengikutnya. Dia perlu melakukan sesuatu sesuai dengan haknya.

  • Pemimpin yang Sentiasa Beribadah Kepada Allah

Antara ibrah daripada surah al-Kahfi ialah menceritakan kisah pemuda yang lari masuk ke dalam gua untuk menyelamatkan akidah. Mereka diancam, sekiranya ada orang dapat menangkap mereka, maka mereka akan diseksa dan sebagainya. Mereka pun lari masuk ke dalam gua demi akidah.

Inilah satu kisah yang boleh menjadi inspirasi kepada kita semua untuk sentiasa menjaga diri kita dalam syariat Allah.

Orang yang tua, apabila mereka hendak mendekati agama itu merupakan perkara biasa kerana mereka berasa mereka sudah tua dan perlu dekatkan diri kepada Tuhan.

Tetapi, hal ini berbeza dengan orang muda. Mereka masih lagi ada banyak masa dan peluang untuk berhibur dan membuang masa. Amatlah luar biasa sekiranya mereka memillih untuk sentiasa beribadat kepada Allah.

  • Seseorang yang Ingat Kepada Allah Berseorangan Lalu Menangis

Orang yang ingat kepada Allah bilamana ia keseorangan adalah individu yang ikhlas. Sebab, untuk ingat kepada Allah di hadapan ramai orang, boleh saja hadir perasaan riyak dan lain-lain.

Namun, dengan ketiadaan “penonton” atau khalayak, tetapi seseorang itu ingat kepada Allah. Kesan daripada perbuatan tersebut, dia menangis dan insaf. Inilah orang yang ikhlas mengingati Allah.

  • Seseorang Yang Hatinya Terikat Dengan Masjid

Orang yang memakmurkan masjid terdapat keistimewaannya tersendiri. Ayat ke-19 daripada surah at-Taubah turun bilamana terdapat para sahabat yang berselisih, amalan mana satu yang lebih utama. Iaitu antara memakmurkan majid, jihad atau lain-lain.

Orang yang hatinya terpaut dengan masjid, tidak perlu khuatir dengan ganjaran daripada Allah. Mungkin, dengan memakmurkan masjid itu impaknya tidak sebesar berjihad di jalan Allah, namun ditegaskan dalam hadis ini bahawa pelaku tetap akan mendapat naungan.

  • Dua Orang Yang Saling Berkasih Sayang Kerana Allah SWT

Sheikh Soleh al-Uthaimin berkata, terdapat dua jenis berkasih sayang yakni berkasih sayang atas dasar kerabat (keluarga) dan atas dasar keimanan.

Allah berfirman dalam Surah az-Zukhruf ayat 67, yang bermaksud, “Pada hari itu sahabat-sahabat karib, sesetengahnya akan menjadi musuh kepada sesetengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).”

Berkasih sayang yang paling utama itu adalah berdasarkan takwa.

  • Seorang Lelaki Yang Diajak Berzina Namun Menolak Dengan Berkata, “Sesungguhnya Aku Takut Kepada Allah”

Rasulullah bersabda, yang bermaksud, “Aku tidak meninggalkan satu fitnah pun yang lebih membahayakan para lelaki selain fitnah wanita.” (Riwayat Bukhari)

Lelaki itu memang biasa dengan syahwat para wanita. Lelaki mudah tergoda dengan wanita. Maka, amatlah luar biasa bagi seorang lelaki menolak ajak seorang wanita untuk berzina. Dan, penolakan itu pula asasnya kerana takut kepada Allah.

  • Bersedekah Sembunyi-sembunyi, Hulur Tangan Kanan Tetapi Tangan Kiri Tidak Tahu

Kuncinya adalah ikhlas. Orang yang bersedekah lalu menghebohkan sedekahnya itu kepada orang ramai akan mencacatkan keikhlasan dalam hati. Bahkan harta yang banyak langsung tidak akan mampu diberikan manfaat pada hari akhirat kelak jika tidak digunakan dengan sebaiknya. Infaklah dengan hati yang ikhlas seberapa banyak yang mampu. Saham pada hari ini akan diperoleh hasilnya pada hari akhirat nanti.

Bayangkan dengan gambaran keadaan hari akhirat yang telah diterangkan sebelum ini ada golongan yang mendapat naungan daripada Allah SWT ketika itu. Salah satunya adalah dengan bersedekah. Betapa beruntungnya orang yang mendapatkan kedudukan yang istimewa ini. Oleh itu, janganlah kita berlengah dan berkira-kira lagi, rebutlah pahala bersedekah pada hari Jumaat dan semoga kita semua diberikan kedudukan yang mendapat naungan padda hari akhirat kelak.

Wallahua’lam.

Sudahkah Anda Bersedekah Hari Ini?

Jika belum jom sama-sama dengan SedekahMuslim.com membantu mereka yang dalam kesusahan seperti asnaf, ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik , muallaf, anak yatim dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Penyelesaian Sumbangan Konsisten Platform Sumbangan Secara Auto​

jadi orang terawal untuk buat sumbangan auto bulanan

Maklumat Anda
Pilihan Infaqpay Yang Sedia Ada