fbpx
LOGO-DI-WEBSITE-

AZLAN KOMENG DIUJI DENGAN SIHIR

Pelakon Azlan Komeng mendedahkan bahawa rumah tangganya sekali lagi diduga apabila ada individu menghantar ilmu hitam sihir pemisah bagi merosakkan hubungannya dengan isteri. Kata Azlan atau Muhammad Azlan Kamiran, 47, dia dan isteri iaitu Nur Nilam Ortiz, 47, sedang dalam proses rawatan bagi memulihkan gangguan itu.

Meskipun berikhtiar mendapatkan rawatan, Azlan berkata dia tetap meletakkan kepercayaan kepada Allah SWT sebagai tempat untuk meminta pertolongan.

“Kami dalam proses, Alhamdulillah ada kawan-kawan yang datang dan beri cadangan tempat berubat.

“Cuma untuk tahap sekarang ini saya menekankan pada isteri saya supaya percaya kepada Allah terlebih dahulu.

Menerusi laporan mStar baru-baru ini, Nilam memberitahu bayi kembar dalam kandungannya yang berusia lapan bulan tiba-tiba hilang.

Bayangkan seorang yang ibu yang sudah mengandungkan anak selama lapan bulan tiba-tiba diuji dengan kehilangan anak apabila buat pemeriksaan. Betapa besarnya ujian buat ibu apabila melibatkan anak-anak dalam hal itu. Semoga individu Azlan dan isterinya tabah dalam menghadapi ujian ini. 

Namun, adakah sihir itu benar-benar ada? Jika ada bagaimana sihir itu disisi agama Islam, dan apakah hukumnya jika melakukannya. Marilah kita hayati perkongsian artikel ini berkenaan sihir dalam Islam, hukumannya dan kisah sihir.

SIHIR DISISI ISLAM

  • Makna Sihir

Ibn Manzur menyebut di dalam Lisan al-Arab bahawa yang dimaksudkan dengan sihir itu adalah amalan yang dengannya mendekatkan diri kepada syaitan dengan bantuan darinya.

  • Sihir Di Dalam Al-Quran

Amalan sihir juga bukanlah sesuatu perkara yang baharu. Al-Quran telah menyebutkan mengenainya pada banyak tempat dan yang paling jelas mengenainya apabila Al-Quran menceritakan perihal kisah Nabi Musa AS menentang tukang sihir Firaun. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 104-126, yang bermaksud: 

“Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan. Dan berkatalah Nabi Musa: “Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam. “Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku (ke Palestin). Firaun menjawab: “Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar”. Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata. Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya. Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir. “Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu”. (Firaun bertanya): “Oleh itu, apa yang kamu syorkan?” Mereka berkata: “Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir); “Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir”. Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: “Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?” Firaun menjawab: “Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) dari orang-orang yang damping (denganku)”. Mereka berkata: “Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?” Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!” Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya). Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Campakkanlah tongkatmu!” Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan. Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina. Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud, Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.”(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun”. Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya). “Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan memalang kamu semuanya”. Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami (dan kepadaNyalah kami mengharapkan keampunan dan rahmatNya). “Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami”. (Mereka berdoa): “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)”. 

  • Islam & Sihir

Islam menolak amalan sihir dan mengajar orang Islam untuk meminta perlindungan dengan Allah SWT daripada kejahatan sihir, seperti FirmanNya surah al-Falaq ayat ke-4:

وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ

Maksudnya: “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan).”

Berkata Imam al-Tabari: “(yakni minta berlindung) daripada kejahatan ahli sihir perempuan yang bertiup pada simpulan benang ketika menjampinya.”

Hadis Rasulullah SAW juga jelas menyenaraikan amalan sihir sebagai salah satu dosa besar. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: Wahai Pesuruh Allah? Apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.” (HR Bukhari) 

Imam al-Dzahabi memasukkan dosa sihir dalam kitab al-Kabair (1/185) bahkan pengamal sihir membawa kepada kafir berdalilkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-102:

وَلَكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ

Maksudnya: “Tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir.

 Syaitan yang dilaknat mengajar manusia sihir dengan tujuan tidak lain tidak bukan hanya untuk menjadikan mereka mensyirikkan Allah.

Hukuman Terhadap Tukang Sihir

Ulama berbeza pandangan berkenaan hukuman kepada tukang sihir. Imam Malik berpendapat hukumannya adalah bunuh, tidak ada proses istitabah dan tidak diterima taubatnya. Ini kerana Allah SWT sendiri berfirman mengatakan orang yang melakukan sihir ini adalah kufur. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-102:

وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنۡ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَآ إِنَّمَا نَحۡنُ فِتۡنَةٞ فَلَا تَكۡفُرۡۖ

Maksudnya: “…sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).”

Ianya juga adalah pendapat al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Thaur, al-Imam Ishak, al-Imam al-Syafi’e dalam satu riwayat dan al-Imam Abu Hanifah Rhm ( Tafsir al-Qurtubi, 2/48).

Manakala pandangan kedua ialah pandangan yang masyhur daripada al-Imam Syafie bahawa jika penyihir itu tidak membunuh dengan sihirnya maka tidak dibunuh. Lihat Fath al-Bari (10/236).

Berkata al-Imam al-Nawawi: Kadangkala sihir itu membawa kepada kekufuran dan kadangkala sihir itu tidak membawa kepada kufur, tetapi dosa besar. Maka jika terdapat dalam sihir itu perkataan atau perbuatan yang membawa kepada kufur maka kafir pelakunya, jika tidak (seperti menggunakan ubat-ubatan dan dadah), maka tidak kufur. Adapun mempelajarinya dan mengajarnya adalah haram, maka pelajaran itu membawa kepada kufur maka kafirlah, jika tidak, maka tidak kufur. Jika tidak membawa kepada kekufuran, maka tukang sihir itu dita’zir dan diberi peluang untuk taubat.” Lihat Syarh Sahih Muslim 14/176.

Dalam sebuah hadith ada menyebutkan:

حَدُّ السَّاحِرِ ضَرْبَةٌ بِالسَّيْفِ

Maknanya: Had (hukuman) bagi tukang sihir adalah bunuh. (HR Tirmizi)

Semoga kita dijauhkan oleh Allah daripada perbuatan sihir, sama ada melakukannya atau dibinasakan dengannya.

KISAH HARUT DAN MARUT

Pernah dengar kisah Harut dan Marut yang mengajarkan sihir pada zaman Nabi Sulaiman? Jika anda masih ingat juga, kisah Nabi Sulaiman sangat sinonim dengan mukjizatnya (kelebihan) untuk bercakap dengan jin dan binatang serta mengetahui mengenai sihir. Diceritakan bahawa Harut dan Marut merupakan dua malaikat yang dihantar oleh Allah untuk menguji hambaNya pada zaman Nabi Sulaiman dengan ajaran sihir.

Walau bagaimanapun, menurut pendapat jumhur ulama, tugas mereka bukanlah untuk mengajarkan sihir walaupun mereka tahu dan mempunyai ilmu sihir, namun disebabkan kedegilan manusia pada waktu itu yang melihat sihir sebagai sebuah kuasa besar, akhirnya ramai yang sesat dan menggunakannya ke arah yang terpesong. Sebahagian ulama berpendapat bahawa mereka ialah manusia yang datang mengembara ke Negeri Babylon bagi mengajarkan sihir.

Walau bagaiamanapun, pendapat ini ditolak kerana sebahagian jumhur ulama mengatakan bahawa mereka ialah malaikat yang diutuskan Allah.

Hal ini ada dijelaskan di dalam Al-Quran berkenaan siapa Harut dan Marut.

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَانَ ۖ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَـٰكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ ۚ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ

Maksudnya: “Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).”(Surah Al-Baqarah, 2:102)

Terdapat banyak kisah yang diceritakan mengenai Harut dan Marut seperti sihir yang diajarkan mereka adalah semuanya sihir perosak dan mereka sukarela menurunkan ilmu tersebut kepada orang. Walau bagaimanapun, kisah-kisah tersebut adalah penceritaan Israiliyyat kerana tiada hadis yang sahih berkenaan ini mahupun dari kalam Allah.

Ilmu sihir yang diajarkan merupakan ilmu yang tidak terpesong. Sebaliknya mereka yang mengamalkannya telah mencampur-adukkan dengan perkara yang batil. Disebabkan itu, sihir tersebut menjadi sihir yang boleh memporak-perandakan rumah tangga dan hubungan suami isteri.

Tidak banyak penceritaan berkenaan mereka yang dibahaskan oleh jumhur ulama, namun dapat kita simpulkan bahawa mereka ialah malaikat yang mempunyai ilmu sihir dan diutuskan oleh Allah sebagai ujian kepada manusia.

Pengajaran Daripada Kisah Sihir Harut Dan Azlan

Umat Islam dan umat manusia wajar mengetahui, memahami, dan seterusnya beriman dan beramal dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Bahawa pentingnya menjadikan rukun iman sebagai pedoman di dalam hidup. Kita harus beriman dengan adanya Allah, malaikat, Kitab-kitab-Nya, Hari akhir, dan qadha’ maupun Qadar-Nya. Tidak seperti orang yahudi yang selalu mendustakan ajaran-ajaran Allah. Mereka tidak mempercayai apa yang digariskan oleh Nabi-nabi sebelumnya.

Larangan melakukan perbuatan syirik, tidak diragukan lagi bahawa syirik adalah satusatunya larangan yang paling sering disebutkan di dalam al-Quran dengan berbagai cara, secara langsung mahupun tidak langsung. Termasuk firman Allah tersebut dan konteks ayat tersebut. Dalam kisah tersebut perbuatan sihirlah yang menjadikan kaum Yahudi sesat, mereka menggunakannya untuk melakukan perkara-perkara yang tidak bermanfaat.

Kita harus mengambil atau mempelajari ilmu yang diterima (disisi Allah) kerana sudah tentunya ilmu tersebut adalah ilmu yang dapat memberi manfaat kepada pemiliknya.

Wallahu a’alam.

Sudahkah anda bersedekah hari ini? Jika belum, mari tekan butang “Sumbangan Diperlukan Segera” dibawah dan memilih mana-mana agensi/madrasah untuk disalurkan sumbangan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan menerima. Terima kasih.

Sudahkah Anda Bersedekah Hari Ini?

Jika belum jom sama-sama dengan SedekahMuslim.com membantu mereka yang dalam kesusahan seperti asnaf, ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik , muallaf, anak yatim dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Penyelesaian Sumbangan Konsisten Platform Sumbangan Secara Auto​

jadi orang terawal untuk buat sumbangan auto bulanan

Maklumat Anda
Pilihan Infaqpay Yang Sedia Ada