fbpx

Siapa pernah dengar tentang kisah salah seorang sahabat Nabi yang bernama Nu’aiman bin Amru bin Rafaah?

Kita tahu bahawa Rasulullah SAW mempunyai ramai sahabat dengan pelbagai tingkah laku. Antaranya ada yang dermawan, lemah-lembut dan ada juga sahabat yang suka bergurau senda.

Salah seorang sahabat yang selalu membuat Nabi SAW tertawa ialah Nu’aiman.

Karakter Nu’aiman ni jenis yang nakal dan sering mengusik orang tidak kira siapapun, termasuklah Rasulullah SAW sendiri.

Kisah pertama, iaitu Nu'Aiman pernah menjual sahabatnya sendiri ...

Pada waktu itu, Nu’aiman mengikuti Saidina Abu Bakar berdagang di Syam.Mereka berhenti sekejap di suatu tempat untuk Abu Bakar berdagang.

Lalu, dalam kalangan mereka ada yang ditugaskan untuk menjaga harta makanan.

Tiba-tiba Nu’aiman berasa lapar dan dia pergi kepada sahabat yang diamanahkan untuk menjaga makanan tadi. “Berikan aku sepotong roti itu atau kau akan ku berikan pelajaran.”

Tapi sahabatnya tidak memberikannya makanan. Lalu Nu’aiman pun menjawab; “Kau cari pasal dengan aku.” Mendengar kata-kata Nu’aiman membuatkan sahabat itu berasa cemas kerana dia tahu akan sikap Nu’aiman itu.

Lalu Nu’aiman pergi ke pasar dan bercakap dengar orang-orang di sana bahawa dia mempunyai seorang hamba yang mahu dijual dengan harga yang murah.

Nu’aiman pun memberitahu bahawa sahabatnya ini adalah hamba yang diberitahunya tadi dan walaupun sahabatnya menyatakan dirinya adalah seorang yang merdeka. Nu’aiman tetap berjaya menjual sahabatnya itu dengan hasil 20 dirham.

Namun ada riwayat lain menyatakan bahawa Nu’aiman menjual sahabatnya sebanyak 100 dirham. Hasil daripada menjual sahabatnya, Nu’aiman dapat membeli makanan dan minuman. Bahkan turut membeli juga hadiah untuk Rasulullah SAW.

Namun ketika makan, Saidina Abu Bakar berasa hairan; “Mana sahabat yang menjaga makanan tadi?” Tanpa rasa bersalah, Nu’aiman pun menjawab; “Aku telah menjualnya tadi.”

Lantas Abu Bakar tertawa dan menanyakan apa yang sebenarnya terjadi. Nu’aiman pun menceritakan sehingga ke akhirnya. Lalu Saidina Abu Bakar pergi ke pasar dan membeli semula sahabatnya tadi.

Apabila selesai saja mereka berdagang di Syam dan sampai di Madinah, sahabat-sahabat menceritakan kisah Nu’aiman ini kepada Rasulullah SAW.

Mendengar cerita itu membuat Baginda tertawa sehingga nampak gigi geraham.

Sejak dari peristiwa itu, setiap rombongan yang datang ke Madinah, Rasulullah SAW akan bercerita tentang kisah Nu’aiman ini.

Terdapat juga kisah kedua, yang diceritakan di mana ...

Ada satu rombongan dari Syam datang ke Madinah untuk berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW.

Kebanyakan unta-unta yang datang dari Syam ini terkenal dengan unta yang berkualiti tinggi, kiranya gred A.

Pada waktu itu, ada seorang sahabat yang bersama dengan Nu’aiman bergurau dengannya.  “Nu’aiman cuba tengok unta-unta itu gred A, kalau makan sedap ni,” jelas sahabatnya.

“Betul lah, kalau sembelih buat panggang sate sedap ni.” Jawab Nu’aiman.

Tiba-tiba mereka pandang semula ke arah semua unta itu, hampir kesemua unta itu dah disembelih oleh Nu’aiman.

Lalu dia berkata, “Sekarang aku pergi ke suatu tempat yang jauh dan jangan bagitahu Nabi. Bila dah selesai, kita kutip balik unta ini buat panggang.”

Nu’aiman pun berlari hingga ke hujung Madinah untuk bersembunyi.

Ketika itu, Nu’aiman meminta pertolongan daripada seorang sahabat dan menyatakan bahawa beliau dikejar oleh musuh. Oleh itu, Nu’aiman juga meminta untuk menyembunyikan lokasinya kepada sesiapa sahaja termasuklah Rasulullah SAW.

“Tak mungkinlah Rasulullah SAW hendak datang hingga ke hujung Madinah,” fikir sahabat itu.

Maka sahabat itu bersetuju dengan perjanjian yang dibuat oleh Nu’aiman tadi.

Selepas saja rombongan dari Syam berjumpa dengan Rasulullah, mereka terkejut melihat kesemua unta mereka telah disembelih.

Rasulullah SAW bertanya; “Ini angkara siapa?” “Nu’aiman Ya Rasulullah,” jawab sahabat-sahabat.

Selepas Rasulullah SAW mendengar ia adalah angkara Nu’aiman, Baginda SAW sudah pun mengetahui sikap sahabat itu.

Pada ketika itu, rombongan dari Syam datang ke Madinah adalah untuk memeluk agama Islam.

Disebabkan itu, Rasulullah SAW memerintahkan Saidina Umar untuk mencari ganti semula unta-unta itu kepada mereka.

Selepas itu, Rasulullah SAW mengajak sahabat-sahabat yang lain untuk mencari Nu’aiman dan berjaya sampai ke ladang persembunyian Nu’aiman di hujung Madinah.

Sampai saja di tempat itu, Rasulullah SAW bertanyakan kepada sahabat yang berada di situ; “Di manakah Nu’aiman?”

Sahabat itu berasa bersalah untuk menjawab pertanyaan Rasulullah SAW kerana telah berjanji dengan Nu’aiman untuk merahsiakan lokasinya, tapi dia tidak mahu berbohong kepada Rasulullah SAW.

Oleh itu, sahabat itu memberitahu bahawa dia tidak nampak kelibat Nu’aiman, namun dalam masa yang sama tangannya menunjukkan lokasi Nu’aiman.

Apa yang menariknya adalah respon Nabi Muhammad SAW yang tidak marah, sebaliknya bertanyakan kepada Nu’aiman mengapa melakukan perkara sedemikian.

Walaupun sikap Nu’aiman nakal, namun dia bersikap jujur dan memberitahu perkara sebenar bahawa ada seorang sahabatnya yang bergurau dengannya.

Sehinggakan Rasulullah SAW bersabda; “Nu’aiman akan masuk syurga sambil tertawa, kerana dia suka membuat ku tertawa”.

Nu’aiman juga adalah salah seorang mujahid terawal yang ikut berperang dalam perang pertama Islam iaitu Perang Badar.

Kisah Nu’aiman ini memberikan gambaran bahawa Nabi Muhammad juga merupakan seorang yang ceria dan sukakan gurauan. Baginda mempunyai keperibadian yang penyabar dan tak mudah marah menghadapi orang-orang seperti Nu’aiman.

Bahkan turut dikisahkan bahawa Rasulullah sangat melarang para sahabat untuk mencela Nu’aiman meskipun tingkah lakunya tak selalu menyenangkan bagi semua orang.

Meskipun begitu, Nu’aiman adalah seorang sahabat yang sentiasa mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya.

Haa untuk perkongsian yang lebih menarik lagi, jangan lupa ikuti Channel Telegram SedekahMuslim.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Penyelesaian Sumbangan Konsisten Platform Sumbangan Secara Auto​

jadi orang terawal untuk buat sumbangan auto bulanan

Maklumat Anda
Pilihan Infaqpay Yang Sedia Ada