Mesti ramai yang dah pernah dengar nama ni kan? Tapi tak semua tahu tentang kisah Muhammad Al-Fateh. Apa kata kita telusuri serba sedikit kisahnya pada artikel kali ini.
Kuiz 1: Nama lain Sultan Muhammad Al-Fateh
Sultan Muhammad Al-Fateh juga dikenali sebagai Sultan Muhammad II. Beliau merupakan seorang tokoh pejuang Islam yang sangat disegani. Beliau menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turki.
Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya ialah Sultan Murad II yang merupakan seorang yang handal dalam perang jihad, serta mempunyai wawasan yang hebat. Oleh itu, beliau telah berjaya memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya.
Sultan Muhammad Al-Fateh menguasai pelbagai cabang ilmu seperti ilmu agama, politik, seni tempur, ilmu peperangan, tasawuf dan lain-lain. Kecerdasannya memang tidak boleh disangkal lagi kerana beliau juga turut berkebolehan dalam pelbagai bahasa. Antaranya bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia.
Kuiz 2: Asal-usul gelaran ‘Al-Fateh’
Beliau mendapat gelaran Al-Fateh kerana kejayaannya dalam membuka dan menakluk Konstantinopel. Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Konstantinopel akan ditakluk oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Haa selepas mendengar hadis itu, ramai tokoh dan tentera Islam cuba untuk menakluki Kota Konstantinopel. Konstantinopel ni sebenarnya adalah nama lama bagi Istanbul. Siapa baru tahu?
Ketika Muhammad Al-Fateh masih kecil, ada yang berkata kepada Sultan Murad (ayahandanya) bahawa bukan Baginda yang akan menguasai Konstantinopel, sebaliknya anaknya itu.
Seterusnya, ketika zaman belasan tahun, Muhammad Al-Fateh telah mula memegang jawatan sebagai pemerintah daulah Islam bagi menggantikan ayahandanya yang mempunyai urusan di luar kerajaan. Pada usianya 19 tahun pula, barulah secara rasminya beliau menjawat jawatan sebagai khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.
Kuiz 3: Sifat terkenal Sultan Muhammad Al-Fateh
Sultan Muhammad Al-Fateh terkenal dengan sifat kepimpinan dan ketenteraan yang hebat. Walaupun sibuk dengan urusan ketenteraan, namun beliau tidak pernah lalai dalam ibadahnya.
Sebelum bertindak menakluk Konstantinopel, beliau juga telah membuat persediaan yang rapi. Beliau banyak mengkaji dan belajar dari sejarah kegagalan tentera Islam terdahulu.
Kota Konstantinopel dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki ini sangat kebal. Justeru, untuk menawan kota Konstatinopel ini, beliau perlu cekap dan bijak dalam menyusun strategi supaya tentera Islam tidak bertindak melulu tanpa arah tuju.
Setelah itu, beliau dan tentera Islam pon tiba di Konstantinopel untuk menaklukinya. Mereka menghujani kota itu selama 48 hari dengan tembakan meriam, namun ia tidak berhasil menumbangkannya.
Pihak musuh pula memperkukuhkan pertahanan dengan bantuan luar dan menyebabkan tentera Islam kehabisan ikhtiar. Namun begitu, ia tidak berhenti di situ. Sultan Muhammad Al-Fateh tetap meneruskan perjuangan sehinggalah mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu itu.
Akhirnya, pada 29 Mei 1453, kota Konstantinopel telah jatuh ke tangan Sultan Muhammad Al-Fateh.
Meskipun Sultan Muhammad Al-Fateh telah wafat, namun namanya masih lagi menjadi sebutan umat Islam hari ini. Keperibadian Muhammad Al-Fateh perlu dicontohi demi membawa panji Islam ke mercu kegemilangan. Satu aspek perlu dititikberatkan, khususnya kepada para pemimpin ialah keutamaan dalam mementingkan urusan agama berbanding yang lain.
Semoga pemimpin kita juga mempunyai nilai besar seperti Sultan Muhammad Al-Fateh ini. Sebagai rakyat pula, buatlah pilihan yang bijak dalam memilih pemimpin untuk masa depan negara!
Haa bagi anda yang inginkan perkongsian menarik setiap hari, jom sertai Channel Telegram SedekahMuslim.com