Bila sebut pasal masa depan dan perancangan akan datang, kita pasti tak tahu kan apa yang akan jadi. Kadang-kadang rasa takut je la apa yang kita nak, apa yang kita harapkan semua tu tak jadi.
Mungkin ada sebabnya apa yang kita nak tu tak dapat. Mungkin Allah ada perancangan yang lebih baik buat kita. Yang penting kita kena beriman dengan salah satu rukun yang Allah dah tetapkan pada setiap muslim.
Apa dia? Jom kita lanjutkan pembacaan.
Kuiz 1: Rukun Iman
Menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam berpegang teguh pada rukun iman. Hal ini kerana, ia menjadi tunjang kepada akidah dan kekuatan dalaman bagi seluruh umat Islam.
Rukun iman terbahagi kepada 6, iaitu:
1. Beriman kepada Allah SWT
Beriman kepada Allah SWT itu bermaksud kita wajib mengenali Allah yang disembahnya dan meyakini akan kewujudan Allah SWT.
2. Beriman kepada para malaikat
Allah SWT mencipta malaikat sebagai makhluk yang taat kepada perintah-perintahNya. Malaikat ini dicipta daripada cahaya sedangkan kita manusia dicipta daripada tanah.
Kita sendiri harus mengetahui terdapat sepuluh nama malaikat yang melakukan tugasnya.
3. Beriman kepada kitab-kitab
Kitab-kitab itu bermaksud apa yang Allah SWT telah wahyukan kepada rasul-rasulNya yang menjadi panduan atau syariat dalam kehidupan.
Terdapat empat buah kitab yang harus kita ketahui,
i) Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa a.s
ii) Kitab Zabur diturunkan kepada Nabi Daud a.s
iii) Kitab Injil diturunkan kepada Nabi Isa a.s
iv) Kitab Al-Quran di turunkan kepada Nabi Muhammad SAW
4. Beriman kepada para rasul
Allah SWT mengutus para rasul dan nabi kepada manusia sebagai penunjuk jalan. Tujuannya adalah untuk membimbing manusia daripada penyembahan yang salah iaitu menyembah berhala atau sesama makhluk kepada menyembah Allah yang Maha Esa. Nabi-nabi ini juga menjadi model kehidupan bagi seluruh umatnya. Terdapat 25 nabi yang harus dipercayai oleh umat Islam bermula dari Nabi Adam hingga ke Nabi Muhammad SAW.
5. Beriman kepada hari akhirat
Hari akhirat adalah hari di mana kita semua akan dikumpulkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar. Disitu, amalan dan perbuatan kita di dunia akan dihitung dan diadili berdasarkan buku amalan kita.
Pada hari akhirat itulah penentu sama ada kita ini adalah ahli syurga ataupun ahli neraka.
6. Beriman kepada qada’ dan qadar
Qada’ dan qadar bermaksud seluruh kehidupan manusia dan perjalanan alam di atas muka bumi ini hakikatnya sudah ditentukan dan termaklum dalam ilmu Allah SWT.
Apa yang akan terjadi walau sesaat ini adalah dalam ilmu Allah SWT. Kita sebagai hamba hanya perlu berusaha dan hasilnya Allah SWT yang memberikannya.
Kuiz 2: Empat ketetapan Allah sejak azali
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas’ud, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai):
“Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya roh dan dia diperintahkan dengan empat kalimat iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Melalui hadis tersebut, terdapat empat ketentuan hidup yang ditetapkan oleh Allah iaitu rezeki, ajal, amalan dan nasib kehidupan sama ada celaka atau bahagia. Ini juga termasuk dalam soal jodoh, ia telah ditetapkan namun ia memerlukan ikhtiar yang betul.
Kuiz 3: Tindakan apabila perancangan musnah
Pastinya dalam kehidupan kita ini tak semua yang kita harapkan itu kita dapat. Kadang-kala perancangan yang sudah kita aturkan tidak berjalan dengan lancar.
Ingatlah bahawa pasti ada hikmah di sebalik itu. Ibnul Qayyim rahimahullah berkata:
“Apabila seorang hamba ditimpa takdir yang tidak ia sukai, maka perhatikanlah enam perkara berikut ini:
Pertama: Menyaksikan keesaan Allah (tauhid), bahawa Allah yang menentukan itu semua, menghendaki dan menciptakannya.
Kedua: Menyaksikan keadilan-Nya, bahawa ketentuan Allah pasti berlaku, dan keputusan Allah pasti adil.
Ketiga: Menyaksikan rahmat-Nya, bahawa rahmat Allah mengalahkan kemurkaan-Nya.
Keempat: Menyaksikan hikmah-Nya, bahawa Allah melakukan segala sesuatu karena adanya hikmah dibaliknya.
Kelima: Menyaksikan pujian-Nya, bahawa Allah terpuji dalam seluruh perbuatan-Nya.
Keenam: Menyaksikan Ubudiyah, bahawa ia adalah seorang hamba, yang berlaku padanya ketentuan pemiliknya.” [Al Fawaid hal 46-47]
In syaa allah, jika kita yakin dengan setiap aturan Allah itu, tidak ada apa yang mengecewakan sebab kita tahu setiap satu yang berlaku itu adalah baik-baik belaka.
Jom kita sama-sama positif dan dapatkan lebih banyak ilmu bermanfaat di Sedekah Muslim. Klik terus pada link ini https://t.me/sedekahmuslim