Nabi Harun AS merupakan Nabi yang ke-15, iaitu selepas Nabi Musa. Nama panjang beliau ialah Harun bin Imran bin Qahits bin Lewi bin Nabi Yaakub bin Nabi Ishak bin Nabi Ibrahim.
Allah SWT telah menyebutkan nama beliau sebanyak 20 kali di dalam Al-Quran.
Namun tidak dinafikan bahawa kisahnya jarang sekali diceritakan atau mungkin tidak banyak diketahui oleh orang ramai berbanding dengan kisah-kisah Nabi lain.
Nak tahu kenapa? Ayuh kita teruskan pembacaan dulu.
Kuiz 1: Nabi Harun merupakan saudara kepada
Nabi Harun adalah saudara, iaitu abang kandung kepada Nabi Musa. Dikatakan bahawa beliau lahir terlebih dulu dari Nabi Musa dan perbezaan umurnya adalah 3 tahun sahaja.
Nabi Harun diangkat menjadi Nabi disebabkan oleh Nabi Musa memohon kepada Allah SWT untuk membawa bersama Nabi Harun ketika berdakwah.
Oleh itu, kisah Nabi Harun ini sebenarnya hampir sama saja dengan Kisah Nabi Musa. Masih ingat lagi tentang Kisah Nabi Musa tempoh hari?
Kuiz 2: Kelebihan yang dimiliki oleh Nabi Harun
Antara sebab kenapa Nabi Musa ingin membawa bersama Nabi Harun untuk menyampaikan dakwah adalah kerana kefasihannya berbicara.
Dan saudaraku Harun dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan (perkataan) ku, sesungguhnya aku khawatir mereka akan mendustakanku.
(QS. Al-Qasas 28: 34)
Ketika zaman kanak-kanak, Nabi Musa mengalami kecederaan kerana memasukkan bara api ke dalam mulutnya. Akibat daripada kecederaan itu, Nabi Musa tidak dapat bercakap dengan jelas.
Justeru, beliau sangat memerlukan Nabi Harun bersamanya. Nabi Harun bukan saja mempunyai pendirian yang tetap, bahkan beliau juga sangat fasih dalam berbicara yang mana boleh membuatkan orang sekeliling lebih mudah untuk memahami setiap apa yang dikatakannya. Ia merupakan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya.
Kuiz 3: Nabi Harun diutuskan untuk berdakwah
Nabi Harun diutuskan untuk berdakwah bersama-sama dengan Nabi Musa ke negeri Mesir untuk mengajak kaum Bani Israel dan Firaun menyembah Allah SWT Yang Maha Esa. Kedua-duanya terus berdakwah walaupun terdapat banyak tentangan dan halangan mendatang.
Tidak lama selepas itu, Nabi Harun diberikan amanah untuk menjaga kaum Israel ketika ketiadaan Nabi Musa. Ini kerana, Nabi Musa perlu berangkat untuk menerima wahyu daripada Allah SWT yang berupa Kitab Taurat.
Namun sekembalinya Nabi Musa selepas bermunajat selama 40 hari, beliau sungguh terkejut kerana kaumnya telah kembali menyekutukan Allah dengan menyembah anak lembu yang diperbuat daripada emas oleh Samiri. Rata-ratanya telah terpedaya dengan tipu helah Samiri yang mengatakan dia mampu menjadikannya sehingga boleh bercakap.
Itulah yang menyebabkan kemarahan kepada Nabi Musa sehingga beliau mendatangi Nabi Harun dan menarik janggut Nabi Harun. Lantas Nabi Harun mengatakan:
Hai putera ibuku, janganlah kamu pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku; sesungguhnya aku khawatir bahawa kamu akan berkata (kepadaku): “Kamu telah memecah antara Bani Israel dan kamu tidak memelihara amanatku.”
(QS Thaha: 94)
Semua ini terjadi bukanlah disebabkan oleh Nabi Harun yang bersikap lepas tangan. Malah Nabi Harun juga telah berusaha sedaya updaya untuk menyedarkan kaum Bani Israel, tetapi ia langsung tidak diendahkan oleh kaumnya.
Lalu Nabi Musa membuat keputusan untuk mendatangi Samiri dan mengusirnya. Akhirnya, kaum Bani Israel telah kembali semula menyembah Allah SWT.
Sekarang anda dah tahu serba sedikit tentang kisah Nabi Harun?
Rupa-rupanya, Nabi Harun adalah saudara dan teman setia Nabi Musa dalam berdakwah. Oleh itu, kisahnya juga tak jauh berbeza daripada kisah Nabi Musa.
Kalau anda nak tahu lebih banyak lagi kisah-kisah Nabi yang lain, jom sertai Channel Telegram SedekahMuslim.com sekarang!