Nabi Syuaib adalah Nabi dan Rasul yang ke-13. Baginda merupakan keturunan dari Nabi Ibrahim dan Nabi Nuh.
Selain itu, Nabi Syuaib adalah salah seorang Nabi yang berbangsa Arab. Termasuklah Nabi Muhammad, Nabi Hud (Yaman) dan Nabi Soleh (Al-Hijr).
Nabi Syuaib telah diutuskan oleh Allah untuk berdakwah kepada Kaum Madyan yang terletak di Laut Merah, Tenggara Gunung Sinai.
Tapi kenapa Allah utuskan Baginda kepada kaum ini? Apakah yang dilakukan oleh mereka? Ayuh kita baca sampai habis ye!
Kuiz 1: Apakah yang disembah oleh Kaum Madyan?
Kaum Madyan dikurniakan tanah yang subur oleh Allah SWT. Akan tetapi mereka tidak pernah mensyukurinya bahkan mereka lebih memilih untuk menyembah “Aikah”, iaitu sebidang tanah yang ditumbuhi pohon lebat.
Mereka juga menganggap kekayaan dan kemakmuran berasal daripada sebidang tanah tersebut. Oleh kerana itulah, kaum ini hanya bergantung kepada pertanian untuk meminta pertolongan bahkan menganggap Aikah itu seperti Tuhan mereka.
Kuiz 2: Perkara jahat yang dilakukan oleh kaum Madyan?
Kebanyakan daripada kaum Madyan ini bekerja sebagai peniaga. Akan tetapi, mereka sangat suka menipu dalam perniagaan.
Antaranya adalah dengan mengurangkan sukatan dan timbangan. Selain itu, mereka juga suka menahan rombongan pedagang lalu mencuri barang-barang dagangan tersebut.
Setelah melihat perbuatan mereka, Nabi Syuaib pun menegur dan berkata: ” Wahai kaum Madyan, lakukanlah jual beli dengan adil. Janganlah kamu mengurangi takaran timbangan!” Namun kaum tersebut tidak pernah mendengarinya.
Sehinggakan semua pengikut Nabi Syuaib juga telah dianiaya oleh Kaum Madyan. Mereka membakar rumah dan menghancurkan segala harta benda. Demi keselamatan, Nabi Syuaib menyuruh pengikutnya untuk keluar dari Kota Madyan ini.
Kuiz 3: Azab yang diturunkan untuk kaum Madyan?
Nabi Syuaib pun berdoa dan meminta pertolongan daripada Allah agar menurunkan azab kepada kaumnya.
Setelah itu, Allah SWT mengabulkan doa Baginda dan menimpakan azab melalui beberapa tahap. Antara azabnya, udara di negeri kaum Madyan tiba-tiba mendadak panas yang menyengat. Lalu kulit mereka menjadi kemerahan dan mengering sehinggakan tanah pertanian mereka juga turut kering-kontang.
Setelah itu, muncul awan hitam yang menutupi negeri Madyan ini. Mereka menyangka awan itu akan menurunkan hujan. Namun, tiba-tiba muncul petir yang datang daripada awan tersebut dan menyambar mereka.
Kemudian, disusuli pula dengan gempa yang dahsyat lalu menggoncang negeri Madyan. Hanya dengan sekelip mata, kaum ini pun musnah binasa.
Pengajaran dari kisah Nabi Syuaib ini adalah, kita mesti bersikap jujur dalam urusan jual beli. Sesungguhnya dalam Islam amat melarang untuk kita menipu ketika berniaga.
Untuk perkongsian harian yang lebih menarik, ayuh sertai Channel Telegram SedekahMuslim.com