MAJLIS ABPBH2023
Baru-baru ini telah berlangsungnya satu rancangan tv yang dipanggil ABPBH2023 singkatan bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang telah menjadi satu majlis rancangan TV3 bagi meraikan para selebriti tanah air dengan pelbagai kategori anugerah. Majlis ini akan sentiasa menjadi bualan awam terutamanya peminat setia selebriti setelah mengumumkan anugerah yang paling ditunggu-tunggu iaitu Anugerah Bintang Paling Popular yang mana ianya menjadi milik Bell Ngasri bagi tahun ini. Tahniah diucapkan kepada Bell Ngasri yang sering membuat jenaka yang tidak kering gusi dibuatnya.
Namun isunya disini ialah apabila para selebriti yang tercalon yang turut hadir ke majlis tersebut perlulah menajaga batas dan mengikut landasan syariat yang telah ditetapkan. Hal ini kerana, para selebriti mempunyai komuniti peminatnya yang tersendiri samada kecil ataupun besar. Pendek kata, bagi sesetengah orang awam ada yang menjadikan selebriti yang diminatinya sebagai role model. Menyedari hal ini, sepatutnya para selebirit lebih cakna dalam menunjukkan sikap yang baik agar menjadi contoh yang baik kepada orang awam.
Yang menjadi perbincangan pada artikel kali ini adalah etika berpakaian dan adabnya menurut agama Islam. Terdapat seorang artis yang sering mengenakan fesyen yang terlalu pelik dimata orang sehingga menarik pandangan orang awam baik yang muda mahupun yang tua. Walaupun pakaiannya dari mata kasar dikatakan menutup aurat, namun terdapat juga dalil yang menyatakan bahawa tidak boleh mengenakan pakaian yang terlalu pelik yang disebut sebagai syuhrah yang boleh menarik pandangan orang ramai terhadapnya. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan tentang menutup aurat dan jenis fesyen pakaian yang pelik disisi agama Islam.
MENUTUP AURAT
Allah SWT memerintahkan hamba-hambaNya untuk memakai pakaian yang menutup aurat. Ini berdasarkan dalil al-Quran dalam surah al-A’raf ayat ke-26 :
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.
Berdasarkan ayat di atas, terdapat tiga jenis pakaian yang disebut oleh Allah SWT iaitu pakaian untuk menutup aurat, pakaian untuk perhiasan dan pakaian takwa. Perkataan “اللباس” dalam ayat tersebut merujuk pakaian asas (dharuriyah) untuk menutup aurat. Manakala “الريش” ialah sesuatu yang dipakai supaya nampak cantik pada luarannya (takmilat). Sementara, pakaian taqwa yang dimaksudkan secara majazi (kiasan) ialah amal soleh menurut Ibnu Abbas( Lihat. Tafsir al-Quran al-Azim (3/400).
Secara umumnya, Islam tidak menetapkan jenama khusus bagi pakaian individu muslim. Ini menunjukkan keluasan dalam menggayakan pakaian mengikut pakaian adat setempat sekalipun berfesyen. Namun, perkara yang perlu dititikberatkan ketika mengayakan pakaian ialah menepati ciri-ciri pakaian yang menutup aurat dengan sempurna selain mengikut piawaian yang telah ditentukan syarak.
Seterusnya, kaum wanita boleh melabuhkan pakaiannya sehasta daripada buku lali agar tidak tersingkap aurat di bahagian tumit kakinya. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA.anhuma, sabda Rasullullah SAW :
مَن جرَّ ثوبَهُ خيلاءَ لم ينظُرِ اللَّهُ إليهِ يومَ القيامةِ ، فقالَت أمُّ سَلمةَ كيف يصنع النساء بذيولهن؟ قالَ : يُرخينَ شبرًا ، فقالت : إذًا تنكشفَ أقدامُهُنَّ ، قالَ: فيُرخينَهُ ذراعًا ، لا يزِدنَ علَيهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana kesombongan, Allah SWT tidak melihatnya pada hari kiamat. Maka, Ummu Salamah telah bertanya : Bagaimana wanita menguruskan bahagian bawah jubahnya? Maka Baginda SAW menjawab: Labuhkan ia sebanyak sejengka. Maka Ummu salamah berkata: Jika masih terlihat di bahagian bawah kaki. Baginda bersabda :“Maka labuhkan sebanyak sehasta dan jangan lebih dari itu”. (HR Tirmizi 1731)
Hadis ini menjelaskan bahawa kaki wanita adalah aurat (Lihat, Nail al-Authar (301). Sementara, Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis diatas menyatakan :
حُكْمِ النِّسَاءِ فِي ذَلِكَ لِاحْتِيَاجِهِنَّ إِلَى الْإِسْبَالِ مِنْ أَجْلِ سَتْرِ الْعَوْرَةِ لِأَنَّ جَمِيعَ قَدَمِهَا عَوْرَةٌ فَبَيَّنَ لَهَا أَنَّ
حُكْمَهُنَّ فِي ذَلِكَ خَارِجٌ عَنْ حُكْمِ الرِّجَال . وَقَدْ نَقَلَ عِيَاضٌ الْإِجْمَاعَ عَلَى أَنَّ الْمَنْعَ فِي حَقِّ الرِّجَالِ دُونَ النِّسَاء
Maksudnya: “Wanita perlu melabuhkan kain melebihi buku lali (isbal) bagi menutupi keseluruh kawasan kakinya kerana aurat. Hal ini berbeza hukumnya terhadap kaum lelaki yang dilarang melabuhkan kain atau seluar melebihi paras mata buku lali ( isbal). al-Qadhi Iyadh telah menukilkan ijma’ ulama bahawa larangan isbal hanya khusus bagi kaum lelaki tidak termasuk kaum wanita” ( Lihat Fath al-Bari 10/259). Perbahasan lanjut berkaitan hukum isbal bagi lelaki, rujuk artikel kami pada ruangan Irsyad al-Fatwa siri 205
Bagi menjawab persoalan yang diajukan berkisar wanita yang memanjangkan pakaiannya kerana tuntutan fesyen seperti gaun pengantin atau selainnya yang melebihi sehasta. Maka, kami cenderung menyatakan bahawa wanita hanya dibenarkan melabuhkan pakaiannya sehasta dari buku lali untuk menutupi aurat keseluruhan kakinya berdasarkan hadis yang telah dinyatakan. Namun sekiranya memakai pakaian yang sengaja direka terlalu panjang meleret melebihi sehasta, maka ia merupakan satu bentuk pembaziran dalam berpakaian, apatah lagi disertakan niat untuk bermegah dengan mempamerkan kecantikan secara berlebihan. Islam melarang umatnya melakukan pembaziran serta sikap bermegah berdasarkan dalil al-Quran dalam surah al-A’raf ayat ke-31:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya : “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
Ayat di atas menunjukkan bahawa manusia perlu bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu kerana Allah tidak suka sama sekali mereka yang melampaui batas. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 4/2174). Ayat ini turut menjelaskan bahawa Allah SWT tidak suka kepada mereka yang melakukan pembaziran pada makanan, minuman dan semua aspek lain (Rujuk Tafsir al-Muyassar 1/154). Bahkan, Allah menjelaskan bahawa perbuatan membazir adalah amalan syaitan berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat ke-27:
إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوٰنَ ٱلشَّيٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
FESYEN PAKAIAN YANG PELIK BOLEH MENGUNDANG PERASAAN SOMBONG DAN RIYA'
Setiap muslim perlu menjauhkan diri daripada perkara yang boleh menyebabkan kesombongan dan rasa bangga diri. Hal tersebut berdasarkan dalil dalam al-Quran dan hadis berikut:
Firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat ke-23 :
وَاللَّـهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
Maksudnya : “Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”
Berlebih-lebihan dalam berpakaian akan dapat menimbulkan rasa bangga diri dan berlagak angkuh kepada orang lain. Rasulullah SAW melarang memakai pakaian untuk meraih kemasyhuran. Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ أَلْبَسَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ
Maksudnya : “Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.” (HR Ibn Majah 3606)
Maksud pakaian syuhrah ialah baju yang ketara perbezaannya dengan manusia lain dari sudut warnanya atau bentuknya yang mampu untuk meraih pandangan manusia lain untuk melihat kearahnya sehingga menimbulkan perasaan ujub dan takbur dalam diri pemakai. Hadis tersebut turut menunjukkan larangan memakai pakaian syuhrah (Lihat, Nail al-Authar (303).
Hal tersebut berbeza bagi mereka yang berkemampuan untuk berpakaian cantik disertakan niat tawadhuk (rendah diri) kerana ingin menzahirkan nikmat kurniaan Allah SWT. Ini bertepatan dengan sebuah hadis Nabi SAW yang menasihatkan sahabatnya yang kaya dan bersabda:
فَإِذَا آتَاكَ اللَّهُ مَالاً فَلْيُرَ أَثَرُ نِعْمَةِ اللهِ عَلَيْكَ ، وَكَرَامَتِه
Maksudnya: “Jika Allah mengurniakan kepada kamu harta, maka perlihatlah kesan nikmat Allah ke atas kamu dan kemuliaannya.” (HR Abu Daud 40)
PENUTUP
Boleh jadi perkara ini masih belum diketahui orang ramai dan pada diri artis itu sendiri. Oleh itu artikel ini sebagai panduan kepada orang awam agar sentiasa berhati-hati dalam emilih fesyen. Sekalipun dilihat menutup aurat perlu ada sudut lain yang perlu dilihat. Sentiasalah bertanya kepada yang ahli soal agama. Jangan pula kita mempertahankan kesilapan yang kita lakukan atau ornag lain lakukan atas kejahilan kita sendiri seperti mengatakan “takpelah..asalkan dia tutup aurat”. Berhati-hati dalam memilih fesyen agar kita tidak termasuk sebagai golongan yang timbul dalam hati kita suatu perasaan riak dan sombong.
Semoga dengan ulasan artikel ini dapat membantu lebih ramai orang menambahkan pengetahuan lagi tentang Islam melalui isu-isu semasa. Jangan lupa juga untuk mendoakan orang-orang yang terlanjur dalam dunia fesyen sehingga menarik banyak pandangan orang. Mungkin mereka benar-benar tidak mengetahuinya. Tugas kitalah untuk menyampaikan apa yang kita ketahui. Akhir kalam, semoga pencerahan tersebut dapat memberi kefahaman kepada masyarakat dan marilah berdoa agar kita dapat menjalankan kehidupan mengikut neraca syariah yang sebenar.
Wallahu a’lam.
Sudahkah anda bersedekah hari ini? Jika belum, mari tekan butang “Sumbangan Diperlukan Segera” dibawah dan memilih mana-mana agensi/madrasah untuk disalurkan sumbangan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan menerima. Terima kasih.
Sudahkah Anda Bersedekah Hari Ini?
Jika belum jom sama-sama dengan SedekahMuslim.com membantu mereka yang dalam kesusahan seperti asnaf, ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik , muallaf, anak yatim dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka