Mesti ramai yang menanti-nantikan kisah Nabi Muhammad ni? 🤭
Mana taknya, Nabi Muhammad adalah Nabi yang terakhir dan kita juga termasuk dalam umat di bawah Nabi Muhammad SAW.
Sayang lah kalau kita ni termasuk dalam umat Nabi Muhammad tapi belum cukup kenal dengan Nabi sendiri.
Oleh itu, jom sama-sama kita mengenali Nabi Muhammad SAW.
Kuiz 1: Peperangan pertama Rasulullah ketika muda
Ketika Rasulullah berusia 20 tahun, Rasulullah pernah mengikuti satu peperangan yang bernama Perang Fijar.
Perang Fijar adalah perang yang terjadi antara Bani Kinanah melawan kabilah Qais dan ‘Aylan dari Bani Hawazin.
Perang Fijar itu bermula dengan adanya perkelahian antara dua pemuda. Seorang pemuda yang bernama ‘Urwa Ar Rahlal bin ‘Utbah dari Bani Hawazin telah dibunuh oleh seorang pemuda yang bernama Barradz bin Qais dari Bani Kinanah yang ada sangkut-paut keteturunan dengan Bani Quraisy di Pekan ‘Ukaz.
Apabila ‘Urwah (Humazin) melintasi jalan Najd ke Hijaz, beliau diikuti oleh Barradz (Kinanah) dari belakang. Kemudian, ‘Uwah di bunuh oleh Barradz dan perdagangan itu dirampas olehnya.
Fijar bermaksud “derhaka” yakni penderhakaan dan pencabulan perjanjian di bulan suci. Lebih tegas, Perang Fijar itu terjadi demi memerangi penderhaka yang melanggar perjanjian yang telah dipersetujui oleh semua puak di sekitar Tanah Arab itu.
Nabi SAW menyertai perang Fijar itu setelah diajak oleh bapa-bapa saudara Baginda yang turut serta dalam perang itu. Ketika itu, Nabi Muhammad SAW masih berusia 15 tahun. Baginda menyertai Perang Fijar sehingga baginda berusia 20 tahun.
Ada ulama yang mengatakan Nabi SAW menyertai perang dengan hanya mengutip dan mengumpulkan anak panah yang datang dari pihak musuh. Baginda menyerahkan anak panah itu kepada bapa-bapa saudaranya untuk dilepaskan kembali ke pihak lawan. Mungkin kata-kata ulama itu ada benarnya. Kerana di peringkat awal perang itu Baginda hanya disuruh sedemikian. Tetapi bila Baginda semakin matang, Baginda juga turut sama untuk menyerang dan memanah ke arah musuhnya pula.
Nabi SAW pernah menyatakan selepas beberapa tahun Baginda diangkat menjadi Rasul dengan sabdanya:
“Sesungguhnya aku menyertainya (Perang Fijar) bersama bapa saudaraku. Dan aku turut melepaskan panah dalam peperangan itu dan aku tidak suka sekiranya aku tidak melakukannya.”
Dalam riwayat lain Baginda bersabda:
“Aku melepaskan anak panah bapa saudaraku akan anak panah musuh mereka (para musuh) melepaskan kepada mereka (para bapa saudaraku) dengan anak panah itu.”
Begitulah, Nabi yang dibesarkan dengan segala pengalaman yang menjadikan Baginda sebagai lelaki yang sempurna.
Kuiz 2: Dakwah Rasulullah di Mekah dan Madinah
Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul Allah ketika berusia 40 tahun dimana turunnya wahyu pertama melalui malaikat Jibril di Gua Hira’.
Saat itu, bermulalah perjalanan dakwah Rasulullah SAW selama 23 tahun dengan penuh sabar dan penuh rintangan.
Dalam tempoh 23 tahun kerasulannya, 13 tahun itu juga Rasulullah berdakwah di kota Mekah. Sedangkan 10 tahun sisanya dihabiskan dengan berdakwah di Kota Madinah.
Kuiz 3: Khutbah Rasulullah yang terakhir
Khutbah terakhir merujuk kepada ucapan terakhir Nabi Muhammad kepada pengikut dan masyarakat Islam yang hidup pada zaman Nabi Muhammad.
Khutbah ini berlaku pada peristiwa Haji Wida’ Muhammad iaitu 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Bukit Arafah.
Berikut adalah kandungan penuh khutbah Rasulullah SAW:
“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”
Bila kita hayati betul-betul kandungan khutbah tersebut, sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada hati untuk menjadi kaum muslim yang lebih baik.
Semoga dengan perkongsian ringkas ini memberi manfaat kepada kita semua.
In syaa Allah, jika anda tidak ingin terlepas ilmu-ilmu yang bermanfaat, anda boleh terus klik link ini https://t.me/sedekahmuslim