Nama sebenar beliau adalah Yahya bin Syarafuddin bin Hasan. Beliau dilahirkan pada pertengahan bulan Muharram tahun 631 H di Nawa, sebuah kampung di daerah Damsyiq yang sekarangnya merupakan ibu kota Syria.
Imam Nawawi juga digelar sebagai Abu Zakariyya mengikut adat kebiasaan masyarakat Arab dan Muhyiddin yang bermaksud penghidup agama atas kewibawaanya dalam bidang ilmu.
Kisah perjalanan dalam menuntut Ilmu
Sejak dari kecil lagi beliau telah diajar oleh ayahnya untuk mencintai ilmu. Di usia 19 tahun, Imam Nawawi pindah ke Damaskus untuk menuntut ilmu bersama ayahnya.
Imam Nawawi hanya mengambil masa 4 bulan setengah untuk menghafal kitab At-Tanbih manakala dalam waktu kurang setahun juga beliau telah menghafal Rubu’ ibadat dari kitab Muhadzdzab.
Selama dua tahun itu, beliau bergabung dengan Madrasah Rawahiyah yang didirikan oleh seorang pedagang bernama Zakiuddin Abul-Qassim atau Ibnu Rawahah.
Imam Nawawi mempunyai beberapa sifat terpuji seperti kesungguhan dan ketekunannya dalam menuntut ilmu tanpa menghiraukan tidur dan makan minumnya. Ini terbukti daripada kemampuan beliau yang mempelajari sebanyak 12 pelajaran dalam masa sehari.
Ketekunan beliau ini, bukan sahaja dalam menuntut ilmu tetapi juga dalam beramal. Menurut al-Qutb al-Yunani:
“Beliau banyak membaca al-Quran dan berzikir. Selain itu, beliau juga sering berpuasa dan berjaga malam, sama ada untuk beribadat, membaca al-Quran ataupun mengarang”.
Haa itu baru kisah perjalanannya dalam menuntut ilmu. Jom sekarang kita dengar pula kisah tentang beliau dengan Raja di Kota Damsyik.
Imam Nawawi Tidak Takut Menegur Raja
Ketika perang antara kerajaan Mamalik dan tentera Mongol berlangsung, kerajaan Mamalik telah kehabisan sumber kewangan bagi membayar kos peperangan mereka.
Lalu Sultan Al-Zahir yang merupakan Raja Mamalik meminta para ulama untuk mengeluarkan satu fatwa untuk membolehkan kerajaan mengutip duit daripada rakyat bagi tujuan tersebut.
Kebanyakkan ulama telah mengeluarkan fatwa seperti diperintahkan dan mengatakan ia harus. Namun Imam Nawawi yang merupakan ulama besar, enggan untuk mengeluarkan fatwa tersebut.
Ia menyebabkan Raja Mamalik tidak berpuas hati dengannya. Akhirnya, Imam Nawawi pun tampil sendiri berdepan Raja Mamalik.
Namun Imam Nawawi tetap dengan pendirinya dan beliau juga memberikan alasan penolakannya itu.
“Saya tahu bahawa sebelum ini Tuanku adalah seorang tawanan yang daif. Oleh kerana dengan pertolongan Allah, tuanku berjaya menjadi seorang raja. Manakala Tuanku juga memiliki 1000 hamba abdi yang mana setiap seorang dari mereka memakai pakaian yang mahal-mahal serta setiap daripada seorang itu memiliki beberapa utas emas. Di samping itu, tuanku juga menyimpan 200 orang gundik dan setiap seorang daripada mereka tuanku berikan perhiasan batu permata serta emas yang tinggi nilainya.”
Imam Nawawi berhenti sebentar, kemudian menyambung semula bicaranya.
“Kalaulah Tuanku mengumpulkan kembali perhiasan itu sudah pasti ia cukup bagi menanggung kos pembiayaan perang itu. Kalaulah sekiranya masih belum mencukupi, barulah saya berani mengeluarkan fatwa yang membolehkan tuanku memungut harta dari rakyat.”
Teguran berani itu menyebabkan para ulama sedar dan sangat menyesal atas kesilapan yang dilakukan. Oleh sebab itulah, Imam Nawawi merupakan imam yang sangat disegani oleh para ulama lain.
Raja Mamalik menjadi murka dan menganggap Imam Nawawi sebagai penghalang rancangannya. Lalu, baginda mengusir Imam Nawawi dari Kota Damsyik. Meskipun hukuman itu mengejutkan Imam Nawawi, ia tetap keluar daripada kota tersebut.
Pemergian Imam Nawawi sangat dirasai oleh para ulama lain kerana beliaulah satu satunya tempat untuk dirujuk. Sehinggakan para alim ulama beberapa kali memujuk beliau untuk pulang kembali ke Damsyik. Tetapi Imam Nawawi enggan dan berkata “Selagi raja itu masih memerintah, selagi itu saya tidak akan kembali.”
Mendengar kisah ini sahaja sudah menunjukkan betapa hebat dan istimewanya beliau dalam bidang ilmu ini. Sehingga sekarang Imam Nawawi adalah seorang tokoh ilmu yang terkenal dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia. Ini kerana berkat sumbangan ilmu dan karyanya yang digunakan sebagai rujukan dalam bidang fikh dan hadis.
Imam Mawawi juga tidak menikah sehinggalah tiba waktu wafatnya dan meninggal pada 676 H atau 1277 M di umur yang sangat muda.
Ketekunannya mempelajari dan mengembangkan ilmu pengetahuan membuatkan dirinya dihormati oleh semua mazhab. Imam Nawawi juga diakui sangat berjasa dalam bidang hadis melalui karya-karyanya.
Haa menarik kan kisah tentang Imam An-Nawawi ini.
Jadi untuk perkongsian yang lebih menarik dan bermanfaat selain daripada kisah tentang tokoh, anda boleh join Channel Telegram SedekahMuslim.com