Bila berada dalam bulan puasa, isu bau mulut sering dikupas dan diperkatakan oleh masyarakat umum. Tapi tahukah anda bahawa, “Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Namun jangan salah faham!
Meskipun hadis tersebut menyatakan sedemikian, ini tidak bermakna kita boleh mengabaikan isu kebersihan dan tidak perlu menggosok gigi jika sedang berpuasa.
Tetapi terdapat pula beberapa keraguan dalam kalangan kita.
Kuiz 1: Hukum menggosok gigi di siang hari Ramadan adalah
Hukum menggosok gigi selepas gelincir matahari adalah khilaf. Sebahagian daripada ulama’ memakruhkannya, dan sebahagian yang lain mengharuskannya.
Mengikut pendapat muktamad (pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan ulama Syafi’iyyah yang lain), menggosok gigi atau bersugi selepas Zohor adalah makruh.
Mengikut sebahagian pendapat Syafi’iyyah juga, menggosok gigi selepas Zohor (secara mutlak) adalah harus. Bahkan sunat menurut Imam Jamal ar-Ramli dan Imam Nawawi kerana perubahan bau mulut selepas tidur umpamanya disebabkan oleh tidur dan bukannya bau mulut kerana berpuasa.
Berdasarkan kedua-dua pendapat tersebut, ia lebih cenderung kepada pendapat yang kedua iaitu HARUS. Ini kerana, tidak ada dalil yang menetapkan waktu khusus dan bau mulut yang melampau juga tidak disenangi oleh orang-orang sekeliling.
Kuiz 2: Bagaimana jika menelan air liur bercampur ubat gigi yang masuk ke dalam mulut?
Jika menggosok gigi dengan ubat gigi, lalu air liur bercampur dengan ubat gigi tersebut dan masuk ke dalam mulut sehingga sampai kepada had yang zahir, maka hukum puasanya adalah BATAL.
Imam Al-Nawawi ada menyatakan bahawa terdapat tiga syarat yang menjadikan menelan air liur tidak membatalkan puasa, iaitu:
1. Ianya semata-mata air liur. Sekiranya air liur bercampur dengan sesuatu dan berubah warnanya, maka batal puasa sekiranya ia ditelan.
2. Seseorang itu menelan air liur melalui bahagian salurannya. Sekiranya air liur telah keluar dari mulutnya kemudian dia memasukkannya semula melalui lidahnya, lalu dia menelannya maka ini akan membatalkan puasa.
3. Dia menelan air liur secara normal (adat kebiasaan). Sekiranya seseorang itu menghimpunkan air liurnya (di dalam mulutnya) dengan sengaja lalu dia menelannya, maka ada dua pendapat masyhur dan yang sahihnya adalah tidak membatalkan puasa.
Sekarang anda sudah jelas? Jom kongsikan bahan bacaan ini kepada keluarga dan kenalan anda juga!
Untuk kuiz yang lebih menarik, dan pengisian yang terbaik sepanjang Ramadan ini, anda boleh join Channel Telegram SedekahMuslim.com