Pada bulan Syawal, kita sangat digalakkan untuk melakukan puasa sunat enam hari. Ini kerana ganjarannya sangat besar, iaitu ibarat kita berpuasa setahun.
Bagi kaum adam, pasti tak ada masalah untuk lakukannya. Namun bagi kaum hawa, terdapat beberapa isu yang sentiasa menjadi persoalan. Antaranya boleh ke kita gabung puasa qadha dengan puasa sunat Syawal ni?
Apa kata kita lihat dulu penjelasan yang dikongsikan ini.
Kuiz 1: Manakah yang lebih afdhal untuk dilakukan?
Ada yang berkata boleh untuk digabungkan, dan ada juga yang menyatakan bahawa tidak sah jika digabungkan antara puasa wajib (puasa qadha Ramadan) dengan puasa sunat (puasa enam Syawal). Jadi mana satu yang betul?
Syeikh Athiyah Saqr dalam Kitab Fatwa al-Azhar ada menyebutkan, “Jika seseorang itu berpuasa qadha enam hari di bulan Syawal, maka dia turut mendapat pahala puasa sunat Syawal.”
Namun demikian, perlulah diambil perhatian bahawa maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna.
Mengikut pendapat yang muktamad, hukum menggabungkan puasa qadha dengan puasa enam adalah harus. Bermakna ia lebih afdhal jika seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa enam pada bulan Syawal.
Kuiz 2: Cara untuk melakukan puasa enam adalah
Seterusnya, bila sebut tentang cara untuk lakukan puasa enam ini, banyak juga pandangan mengenainya. Ada golongan yang menyatakan perlunya untuk dilakukan secara enam hari berturut-turut, dan tidak kurang juga yang berkata sebaliknya.
Mengambil pendapat Mufti Wilayah Persekutuan, isu ini terdapat fleksibilitinya yang tersendiri iaitu:
Puasa enam boleh dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan.
Puasa enam boleh diawalkan ataupun dilewatkan selagi mana masih berada di dalam bulan Syawal.
Jadi terpulang pada individu itu masing-masing, bagaimana cara mereka untuk lakukan puasa enam ini. Apa yang penting adalah ia mesti dilakukan pada bulan Syawal dan tidak boleh dibawa ke bulan seterusnya.
Semoga penjelasan ringkas ini dapat memberi kefahaman pada anda semua. Jom kita rebut peluang untuk melaksanakan puasa enam selagi kita masih berada dalam bulan Syawal!
Untuk pengisian dan perkongsian ilmu yang lebih banyak, anda boleh join Channel Telegram SedekahMuslim.com