KES BULI PELAJAR
Baru-baru ini hangat dengan berita BULI yang mana seorang pelajar berusia 15 tahun dipukul sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah di kawasan Taman Permainan di Taman Bistari Indah hanya kerana tidak berpuas hati mangsa tersebut berkawan dengan ‘awek’ si pembuli
Menurut Ketua Polis daerah Johor menyatakan, “pengadu melaporkan dia telah dipukul, ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk beberapa kali di bahagian hadapan badan, belakang badan, peha, perut dan lengan kiri serta kanan oleh enam remaja lelaki termasuk seorang remaja warga asing berusia 14 hingga 17 tahun.
“Mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian kiri dan kanan, bengkak di peha dan mengalami kesakitan seluruh badan. Polis menahan tujuh remaja terbabit pada hari sama laporan polis dibuat, lebih kurang jam 5.30 petang hingga 9.34 malam.
“Kesemua suspek ditahan di enam lokasi berbeza sekitar kawasan Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya kes disiasat dibawah seksyen 147 kanun keseksaan.
Dalam video tular di media sosial Facebook, berdurasi 59 saat memaparkan seorang pelajar dipukul, disepak dan ditendang sekumpulan pelajar lain berulang kali.
KEKUATAN YANG ALLAH SWT BERIKAN BUKAN UNTUK MEMBULI YANG LEMAH
Sangat menyedihkan masa kini, buli dianggap remeh dan perkara biasa Sahaja. Bahkan tidak timbul sedikit rasa bersalah pun ketika merakam ketika kejadian ini. Sanggup menggunakan kekuatan yang ada untuk membuli, memukul, menendang dan bertindak zalim hanya kerana timbul sedikit ketidakpuashatian dalam diri.
Kadang-kadang ianya bukanlah isu yang besar tetapi lebih kepada untuk menunjuk rasa hebat didepan rakan yang lain. Sedangkan para sahabat nabi Muhammad SAW begitu ramai pahlawan yang kuat namun tidak menyalahgunakan nikmat yang diberikan Allah SWT. Inikan pula baru diberi kuasa pengaruh dalam kalangan pelajar sekolah sudah ingin menzalimi orang lain. Nauzubillah.
Ingatlah tenaga dan kekuatan yang Allah berikan adalah untuk kita manfaatkan di jalan kebenaran dan beribadah. Oleh Itu mari sama-sama kita menghayati kisah nabi Musa AS yang dikurniakan kekuatan yang luar biasa namun tetap berdoa kepada Allah SWT agar tidak menyalahgunakan kekuasaan yang diberikan kepada baginda.
أُرْسِلَ مَلَكُ الْمَوْتِ إِلَى مُوسَى عَلَيْهِمَا السَّلَام فَلَمَّا جَاءَهُ صَكَّهُ فَرَجَعَ إِلَى رَبِّهِ فَقَالَ أَرْسَلْتَنِي إِلَى عَبْدٍ لَا يُرِيدُ الْمَوْتَ فَرَدَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَيْنَهُ وَقَالَ ارْجِعْ فَقُلْ لَهُ يَضَعُ يَدَهُ عَلَى مَتْنِ ثَوْرٍ فَلَهُ بِكُلِّ مَا غَطَّتْ بِهِ يَدُهُ بِكُلِّ شَعْرَةٍ سَنَةٌ قَالَ أَيْ رَبِّ ثُمَّ مَاذَا قَالَ ثُمَّ الْمَوْتُ قَالَ فَالْآنَ فَسَأَلَ اللَّهَ أَنْ يُدْنِيَهُ مِنْ الْأَرْضِ الْمُقَدَّسَةِ رَمْيَةً بِحَجَرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَوْ كُنْتُ ثَمَّ لَأَرَيْتُكُمْ قَبْرَهُ إِلَى جَانِبِ الطَّرِيقِ عِنْدَ الْكَثِيبِ الْأَحْمَرِ
Maksudnya: Pada suatu ketika, malaikat maut diutus Allah kepada Nabi Nabi Musa A.S. Apabila dia bertemu Nabi Musa, baginda menampar malaikat maut itu sehingga buta matanya. Malaikat kembali kepada Tuhannya dan berkata: “Engkau kirimkan aku kepada seorang hamba yang tidak ingin mati.” Allah mengembalikan penglihatannya dan berfirman: “Kembalilah (kepadanya), dan katakan kepadanya supaya dia meletakkan tangannya di punggung lembu. Untuk setiap bulu yang ditutup oleh tangannya, baginya satu tahun.” Kata Nabi Musa. “Sesudah itu apa?” Firman Allah. “Mati!” Kata Nabi Musa, “Kalau begitu, sekaranglah!” Dia pun bermohon kepada Allah supaya mendekatkannya ke negeri suci (Jerusalem) dengan jarak satu lemparan batu. Kata Abu Hurairah menambahkan, “Nabi bersabda, kalau sekiranya aku berada di sana, akan ku tunjukkan kepada mu maqamnya, iaitu di pinggir jalan, dekat tompokan pasir merah”Sahih al-Bukhari
Setengah pihak menolak hadith ini kerana kelihatan tidak logik pada akal mereka. Masakan nabi Nabi Musa A.S tidak kenal malaikat maut? Atau masakan baginda tidak mahu mati sehingga menolak kedatangan mati dengan cara yang begitu kasar. Ini jawapan yang dinyatakan oleh para ulama hadith:
وَالْجَوَابُ أَنَّ اللَّهَ لَمْ يَبْعَثْ مَلَكَ الْمَوْتِ لِمُوسَى وَهُوَ يُرِيدُ قَبْضَ رُوحِهِ حِينَئِذٍ ، وَإِنَّمَا بَعَثَهُ إِلَيْهِ اِخْتِبَارًا وَإِنَّمَا لَطَمَ مُوسَى مَلَكَ الْمَوْتِ لِأَنَّهُ رَأَى آدَمِيًّا دَخَلَ دَارَهُ بِغَيْرِ إِذْنِهِ وَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّهُ مَلَكُ الْمَوْتِ ، وَقَدْ أَبَاحَ الشَّارِعُ فَقْءَ عَيْنِ النَّاظِرِ فِي دَارِ الْمُسْلِمِ بِغَيْرِ إِذْنٍ ، وَقَدْ جَاءَتْ الْمَلَائِكَةُ إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِلَى لُوطٍ فِي صُورَةِ آدَمِيِّينَ فَلَمْ يَعْرِفَاهُمْ اِبْتِدَاءً
Maksudnya: Allah tidak menghantar malaikat maut untuk mengambil nyawa Nabi Musa pada waktu itu tetapi pengutusan itu sekadar suatu ujian lain untuk baginda. Nabi Musa menampar malaikat maut kerana dia muncul dalam rupa manusia biasa yang masuk rumahnya tanpa izin. Baginda pula tidak tahu lelaki itu adalah jelmaan malaikat maut. Tambahan pula Allah membenarkan (kita) mencungkil mata sesiapa yang mengintai ke dalam rumah orang tanpa izin. Para malaikat juga pernah datang kepada nabi Ibrahim dan Lut dalam jelmaan manusia biasa dan kedua nabi itu tidak mengenalinya pada permulaannya. (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari)
Bukan setakat itu, kekuatan baginda pernah disebut Allah dalam surah al-Qasas ketika baginda membantu teman sebangsanya mengalahkan lelaki Qibti.
Ternyata satu tumbukan padu nabi Nabi Musa A.S cukup meragut nyawa lelaki Qibti tersebut. Kejadian itu tidak disengajakan dan baginda tunduk bertaubat kepada Allah. Perincian kisah itu boleh dilihat di sini:
Dan dia masuk ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya 2 orang lelaki sedang berkelahi, – seorang dari bangsanya dan yang seorang lagi dari bangsa musuhnya. Maka orang yang sebangsa dengannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari bangsa musuhnya; Nabi Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Nabi Musa berkata: “Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya) “. Dia merayu (dengan sesalnya): “Wahai tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah dosaku”. (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (Surah al-Qasas 28:15-16)
Kejadian ini berlaku ketika zaman muda baginda. Orang muda biasanya lupa atau tidak peka mengawal kekuatan diri. Setelah sedar kekuatan yang dimilikinya Nabi Musa berdoa kepada Allah agar dia tidak menyalahgunakan kekuatan tersebut. Lihat sambungan doa baginda dlam surah al-Qasas ayat ke-17:
قَالَ رَبِّ بِمَا أَنْعَمْتَ عَلَيَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًا لِلْمُجْرِمِينَ
Maksudnya: (Nabi Musa) merayu lagi: “Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah.
Ini contoh manusia terbaik yang tidak mahu salah menggunakan nikmat pinjaman Allah padanya. Perhatikan di luar sana, berapa ramai manusia yang ada sedikit kekuatan, sama ada ia berbentuk kekuatan fizikal, akal fikiran, harta, pengaruh dan kedudukan, begitu mudah menyalah gunakan kelebihan tersebut.
Ada sahaja orang yang lemah dibuli, dianjingkan, dipijak, ditindas, diperah keringatnya dan sebagainya. Ternyata sikap sebegitu bukan akhlak Islam.
Usahkan berlaku zalim atau menyokong si zalim, sedikit rasa condong kepada si zalim sudah cukup untuk membuka sambaran api neraka kepada kita. Firman Allah dalam surah Hud ayat ke-113:
وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ
Maksudnya: Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim, nanti api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
Menjadi balaci, barua, algojo atau anjing kurap si zalim adalah suatu langkah yang sangat bodoh. Jika si zalim yang dijunjung itu jatuh tersungkur dalam neraka, kita pasti turut disadung masuk bersama. Itulah nasib malang yang menimpa kaum dan tentera Firaun:
Dengan sebab itu Kami mengepungnya ‘bersama tenteranya’ serta Kami humbankan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang yang zalim. Dan Kami jadikan mereka ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya. (Surah al-Qasas 28:40-42)
Kekuatan, kebijaksanaan, kecantikan atau apa sahaja kelebihan yang Allah pinjamkan pada kita adalah amanah yang akan diaudit lengkap di akhirat kelak.
Jangan gunakan kelebihan itu sebagai alat untuk menindas atau membuli orang lain. Bimbang nanti nasib kuncu-kuncu Firaun purba dan Firaun moden turut berulang pada kita. Mohon dijauhkan Allah!
Wallahu a’lam.
Sudahkah anda bersedekah hari ini? Jika belum, mari tekan butang “Sumbangan Diperlukan Segera” dibawah dan memilih mana-mana agensi/madrasah untuk disalurkan sumbangan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan menerima. Terima kasih.
Sudahkah Anda Bersedekah Hari Ini?
Jika belum jom sama-sama dengan SedekahMuslim.com membantu mereka yang dalam kesusahan seperti asnaf, ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik , muallaf, anak yatim dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka