Apabila kita berada di dalam bulan Ramadan, terdapat satu malam yang dicari oleh seluruh umat Islam iaitu Malam Lailatul Qadar. Yang turut diberitahu oleh Allah SWT mengenainya di dalam Al-Quran iaitu dalam Surah Al-Qadr.
Dalam surah Al-Qadr juga menceritakan tentang permulaan Al-Quran diturunkan iaitu pada malam Lailatul Qadar (secara berperingkat) dan keistimewaan yang ada pada malam Lailatul Qadar itu sendiri.
Jom kita ketahui lebih lagi tentang Surah Al-Qadr ini.
Kuiz 1: Surah Al-Qadr menceritakan tentang _____ iaitu _____ yang penuh dengan kemuliaan yang menyamai seribu bulan.
Salah satu kelebihan Lailatul Qadar adalah satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan yang lain.
Sepertimana Firman Allah SWT dalam surah Al-Qadr (1-5) yang bermaksud:
“Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatul Qadar. Lailatul Qadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar.”
Malam yang penuh bersejarah itu telah dinilai sebagai malam keberkatan dan mempunyai ganjaran yang banyak bagi sesiapa yang mengambil peluang untuk beribadah pada malamnya.
Kuiz 2: Surah Al-Qadr merupakan surah yang ke _____ dalam Al-Quran.
Surah Al-Qadr (سورة القدر) adalah surah yang ke-97 dalam Al-Quran dan mengandungi 5 ayat. Ia juga diturunkan di Mekah selepas Surah ‘Abasa.
Surah ini dinamakan “Al-Qadr” (Kemuliaan) kerana pada awal surah, Allah SWT menegaskan bahawa ia telah menurunkan Al-Quran pada malam ”Lailatul Qadar” (Malam Kemuliaan dan Kebesaran).
Malam Lailatul Qadar adalah peluang keemasan yang tak boleh dilepaskan oleh setiap umat Islam yang ingin mendapatkan pengampunan dan rahmat dari Allah SWT.
Ayuh terus istiqamah dalam beribadah yang dianjurkan pada bulan Ramadan ini, lebih-lebih lagi pada malam Lailatul Qadar yang hanya datang setahun sekali. Cari, rebut dan jangan lepaskan peluang ini agar tidak menyesal di kemudian hari.
Jika anda inginkan lebih lagi tentang perkongsian ilmu ataupun aktiviti yang menarik, jom join Channel Telegram kami >> SedekahMuslim.com