Nabi Ayyub merupakan Nabi dan Rasul yang ke-12.
Baginda merupakan anak kepada Aish iaitu cucu Nabi Ishaq, manakala cicit kepada Nabi Ibrahim.
Nabi Ayyub juga mempunyai seorang Isteri bernama Rahma Binti Afrayim yang merupakan cicit kepada Nabi Yusuf.
Baginda turut dikurniakan kekayaan, tubuh badan yang sihat, anak yang ramai, keimanan yang teguh dan baginda sangat dihormati oleh kaumnya bahkan mereka berebut untuk mendampinginya.
Kuiz 1: Siapakah yang cemburu dengan Nabi Ayyub?
Nabi Ayyub lebih dikenali sebagai seorang yang sabar dan ikhlas dalam menghadapi musibah. Bahkan tidak pernah mengeluh sedikit pun kepada Allah SWT.
Oleh sebab itu, iblis amat cemburu dan geram sehinggakan terdengar para malaikat juga turut memuji dan berselawat kepada Nabi Ayyub.
Lalu iblis pun menggoda baginda agar cintakan dunia, namun baginda tidak menghiraukan akan kerana iman dan taqwanya sangat kuat kepada Allah SWT.
Kuiz 2: Apakah tuduhan iblis kepada Allah tentang Nabi Ayyub?
Setelah usaha yang dibuatnya tidak berjaya, iblis pun pergi menghadap Allah SWT. Lalu menuduh Nabi Ayyub:
“Wahai Tuhan, sesungguhnya Ayyub yang menyembah, bertasbih dan bertahmid dengan menyebut nama-Mu, tidak berbuat dengan seikhlas dan setulus hatinya. Ia hanya melakukan semua itu kerana takut akan kehilangan segala kenikmatan duniawi yang telah Engkau kurniakan kepadanya.”
Setelah itu Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Ayyub adalah seorang hamba-Ku yang sangat taat kepada-Ku, bahkan seorang mukmin sejati dan apa yang ia lakukan untuk mendekati dirinya kepada-Ku adalah semata-mata didorong oleh iman yang teguh dan taat kepada-Ku.”
Seterusnya Allah pun mencabar iblis supaya menggoda Nabi Ayyub melalui hartanya.
Kuiz 3: Antara usaha iblis kepada Nabi Ayyub?
Maka iblis pun memulakan rancangannya dengan pelbagai cara. Antaranya:
Pertama, Iblis membakar rumah dan ladang Nabi Ayyub sehinggakan segala harta, rumah, haiwan ternakan, semuanya musnah dan hilang dengan sekelip mata. Akan tetapi baginda tetap sabar.
Kedua, iblis pun mencelakakan anak-anak Nabi Ayyub sehinggakan mereka meninggal dunia. Setelah itu Nabi Ayyub hanya berkata: “Segalanya adalah milik Allah dan setiap manusia juga akan pulang kepada-Nya.”
Ketiga. Cubaan iblis kali ini adalah meniup kedua lubang hidungnya yang menyebabkan baginda merasa gatal satu badan. Lalu Nabi Ayyub ditimpa penyakit kulit yang amat teruk, hanya lidah baginda sahaja boleh bergerak untuk menyebut nama Allah.
Orang ramai pun mula menjauhkan diri mereka dari Nabi Ayyub sehinggakan tiada seorang pun mahu mendampinginya. Namun beliau tetap teguh dan sabar menghadapi ujian tersebut.
Kesabaran Nabi Ayyub yang sangat luar biasa. Allah SWT pun memberikan kesembuhan dan turut mengembalikan semula segala hartanya. Manakala, iblis pula telah menyerah kalah dalam menggoda Nabi Ayyub.
Pengajaran daripada kisah ini adalah, Allah SWT akan memuliakan orang-orang yang sabar saat mereka ditimpa musibah dan bersyukur pada saat mereka mendapat kebahagiaan.
Semoga kisah Nabi Ayyub ini dapat menguatkan lagi semangat kita untuk menempuh segala ujian kehidupan yang mendatang.
Haa menarik kan kisah ni? Untuk perkongsian yang lebih lagi, jom follow akaun media sosial kami!