Setiap kali berdoa, pasti kita inginkan doa tersebut dimakbulkan serta-merta. Betul tak?
Kebanyakan dari kita kurang sabar, bila nak kan sesuatu baru kita panjatkan doa pada Allah SWT. Sebab itulah, apa yang kita doa tu kita harapkan untuk dapat terus.
Jadi jom kita lihat sedikit perkongsian ini untuk mengetahui lebih lanjut siapakah antara golongan yang dimakbulkan doanya dan bagaimana sebenarnya cara Allah SWT mengabulkan doa-doa kita.
Kuiz 1: Golongan yang doa mereka tidak akan ditolak
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
Maksudnya: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”. (Riwayat Ibn Majah)
Daripada hadis ini, dapat dilihat bahawa terdapat tiga golongan yang mana doa mereka tidak akan ditolak oleh Allah SWT.
Kuiz 2: Tiga cara Allah SWT menerima doa hamba-Nya
Seterusnya, berdasarkan beberapa hadis yang lain, terdapat tiga cara bagaimana Allah SWT menerima doa seseorang hamba-Nya, iaitu:
- Allah SWT akan memberikan kepada hamba-Nya di dunia sepertimana yang diingini. Ia juga dibahagikan kepada dua cara, iaitu terus dimustajabkan permintaan tersebut dan juga ditangguhkan kepada tempoh waktu tertentu.
- Allah SWT akan menyimpan doa tersebut di akhirat kelak kerana Allah Maha Mengetahui bahawa hamba-Nya lebih memerlukannya di sana.
- Allah SWT akan menjauhkan hamba-Nya daripada perkara yang buruk atau musibah yang berlaku kepadanya.
Selama ni kita fikir, bila kita tak dapat apa yang kita doakan, seolah-olah Allah SWT tak menerima doa kita. Sebenarnya bukan Dia tak terima doa kita, tapi ada cara lain untuk Dia menerima doa setiap daripada hamba-Nya.
Cuma mungkin sekarang bukan masa yang terbaik untuk mengabulkan permintaan tersebut, jadi Allah SWT menangguhkannya dahulu sehingga ke suatu masa yang betul-betul tepat.
Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang sentiasa berdoa memohon kepada-Nya dalam apa jua keadaan sekalipun. Jadi sebagai seorang hamba yang lemah, kita sepatutnya mengambil peluang ini untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT.
Jika anda mahukan perkongsian video harian yang lebih menarik, atau pengisian tazkirah secara Live setiap hari, ayuh ke Channel Telegram SedekahMuslim.com sekarang!