Bulan Ramadan adalah bulan dimana kita amat digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh seperti membaca Al-Quran, bersedekah dan lain-lain. Seperti yang semua telah ketahui, bulan Ramadan adalah bulan istimewa kerana setiap amalan yang dilakukan akan diberikan ganjaran pahala yang besar serta berlipat kali ganda. Seperti sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ
Maksudnya: Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda. [Hadis Riwayat Muslim (1151)]
Seterusnya berbalik kepada soalan kuiz:
Kuiz 1 : Asal hukum tidur adalah?
Pada asalnya, hukum tidur adalah HARUS. Bahkan tidur sepanjang hari di bulan Ramadan juga tidak membatalkan puasa. Seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi:
“Dan jika tidur seseorang itu sepanjang siang hari, maka sah puasanya menurut pendapat yang sahih lagi diketahui.”
Namun perbuatan tidur sepanjang hari pada bulan Ramadan adalah perbuatan yang boleh mengurangkan fadhilatnya, serta ia tidak digalakkan untuk dilakukan. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali:
“Bahkan daripada adab (berpuasa) adalah tidak memperbanyakkan tidur pada siang hari, sehingga seseorang itu merasakan kelaparan, haus dan merasakan lemah keupayaannya. Maka dengan itu akan dibersihkan hatinya.”
Secara kesimpulannya, para ulama’ menyebut bahawa tidur sepanjang hari pada siang Ramadan adalah termasuk dalam perkara yang DIMAKRUHKAN, namun hukum puasa pada hari tersebut masih SAH.
Kuiz 2 : Jika seseorang itu tidur sebentar pada siang hari di bulan Ramadan dengan niat untuk beribadah di malam harinya, apa kesan dari perbuatan tersebut?
Kesan dari perbuatan tersebut adalah dia MENDAPAT PAHALA. Hal ini kerana, dia telah berniat bahawa tidurnya itu adalah untuk merehatkan tubuh badannya supaya dia dapat beribadah di malam harinya. Maka tidurnya itu boleh menjadi ibadah bergantung pada niatnya.
Anda dapat sesuatu?
Meskipun tidur sepanjang hari tidak membatalkan puasa, namun bukankah lebih baik jika kita memanfaatkan peluang di bulan Ramadan ini untuk memperbanyakkan amal soleh dan melakukan perbuatan yang bermanfaat agar ibadah puasa kita tidak menjadi sesuatu yang sia-sia, Insya-Allah.
Anda inginkan kuiz-kuiz yang lebih menarik sepanjang bulan Ramadan ini?
Jom join Channel Telegram kami di https://t.me/sedekahmuslim