NAK KAHWIN TAPI TAKUT DUIT TAK CUKUP?
Boleh dikatakan hujung tahun merupakan musim perkahwinan. Hampir setiap minggu mesti ada sahaja jemputan majlis perkahwinan. Bila disebut hal berkahwin, sudah tentu setiap orang mempunyai keinginan untuk berkahwin. Hal ini kerana ianya telah menjadi fitrah bagi setiap manusia itu untuk hidup berpasangan. Namun, hal perkahwinan juga boleh dikatakan sebagai hal yang sensitif untuk disebutkan dan hal yang membebankan bagi sesetengah orang. Masalah keluarga, masalah kewangan, masalah pasangan yang sebelumnya dan pelbagai lagi alasan yang menghalang diri kita daripada berkahwin terutamanya masalah kewangan. Ramai anak muda lelaki yang sangat merisaukan keadaan kerja yang belum tetap, masalah wang sebelum nikah dan selepas nikah. Kadang-kadang terfikir, satu majlis sahaja boleh memakan sebanyak 10 ribu keatas, belum termasuk permintaan hantaran yang begitu tinggi. Ini semua faktor luaran yang menjadi bebanan buat seseorang untuk berkahwin.
Buat pemuda lelaki, apabila telah sampai waktu untuk bernikah iaitu mempunyai keinginan dan mampu untuk memberikan nafkah sesudah nikah, maka teruskanlah niat untuk berkahwin dengan mencari pasangan yang sesuai. Jika diminta sekalipun hantaran yang tinggi, turutilah dengan hati terbuka, insyaallah akan dipermudahkan urusannya. Allah telah berfirman di dalam surah an-Nur ayat ke-32:
وَأَنكِحُوا۟ ٱلْأَيَـٰمَىٰ مِنكُمْ وَٱلصَّـٰلِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَآئِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا۟ فُقَرَآءَ يُغْنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌۭ
Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya – pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.”
Jika difikirkan secara logik, apabila seseorang telah berkahwin maka duit akan menjadi berkurang kerana banyaknya komitmen dan kewajipan namun, daripada ayat ini jelas bahawa Allah SWT menyatakan tentang orang yang berkahwin walaupun dia faqir, Allah SWT akan memberikan kekayaan kepadanya. Inikan pula kita yang masih mempunyai pekerjaan, sudah tentu lebih mampu daripada golongan faqir. Yakinlah bahawa gerbang perkahwinan adalah salah satu punca pintu rezeki terbuka. Boleh jadi rezeki seseorang itu datang dengan kerjanya berjalan semakin lancar, boleh jadi walaupun bergaji kecil namun cukup dalam segala hal dan boleh jadi rezeki datang dalam bentuk hadiah dan bantuan. Sebenarnya yang membebankan diri adalah ketika seseorang meyakini bahawa dirinya akan menyara sepenuhnya sesebuah keluarga hasil usahanya sendiri sedangkan pintu rezeki datangnya daripada Allah SWT. Sedarilah bahawa diri kita yang membebani diri sendiri dek sangkaan yang negatif kepada Allah SWT sedangkan Allah SWT telah berjanji di dalam ayat tersebut dan Allah SWT jugalah sebaik-baik pemberi bantuan. Insyaallah, apabila niat kita baik untuk menghalalkan seseorang, maka akan dipermudahkan urusannya sebelum perkahwinan dan sesudahnya.
REZEKI SELEPAS BERKAHWIN
Setelah seseorang itu bernikah, maka bertambahlah satu lagi tanggungjawab ke atasnya baik sebagai seorang isteri ataupun suami. Wajib keatasnya menjalankan tanggungjawab tersebut. Sungguhpun begitu, kehidupan berumah tangga sangat menitikberatkan erti toleransi. Untuk lelaki, sekiranya tidak mampu untuk memberikan rumah. maka sekurang- kurangnya mempunyai usaha untuk mewujudkan tempat tinggal walaupun perlu menyewa. Sekiranya tidak mampu memberikan pakaian baru setiap bulan, sekurangnya belikanlah pakaian baru dua kali setahun. Untuk isteri pula, fahami dan bertolak ansurlah dengan keadaan suami dan bersama-sama mengharungi kehidupan susah senang untuk mencapai hubungan yang mawaddah dan rahmah. Apabila telah diberikan rezeki yang lebih daripada yang sebelumnya, janganlah pernah berkira dengan isteri yang sanggup susah senang bersama. Sering kalilah memberi hadiah sebagai tanda menghargai isteri. Dengan itu, rezeki tidak akan berkurang walau sedikitpun bahkan akan bertambah lagi. Bukan itu sahaja, mendapat zuriat juga salah satu bentuk rezeki yang besar dan apabila dididik sebaiknya, maka mereka itulah jaminan ‘talian hayat’ untuk ibu bapa mendapatkan rahmat melalui amalan-amalan soleh dan kebaikan yang dilakukan.
Bagi mereka yang sudah berkahwin namun masih tidak mendapat pekerjaan yang sebaiknya ataupun kehidupan sebelum dan selepas kahwin itu tidak jauh bezanya, bahkan mendakwa rezeki untuk mereka tiada, harus difahami rezeki itu bukanah semata-mata berbentuk material dan wang ringgit. Sebaliknya rezeki Allah itu sangat luas. Miskin harta tetapi kaya dengan kasih sayang dan kaya dengan jiwa tenang yang dikecapi selepas berumah tangga. Ketenangan itu dapat dicapai melalui perkongsian hidup antara dua insan yang nyata lebih halal. Berbeza ketika bercinta, mereka boleh menyelami hati masing-masing tanpa had dan batasnya. Setiap perkara dikongsi bersama dan makan minum ada yang menjaganya.
Bukankah tenang jiwanya jika pulang ke rumah isteri menyambut dengan senyuman di bibir, sambil mengurut lembut? Begitu juga si isteri, penat seharian membuat kerja rumah hilang tatkala melihat si suami pulang dengan penat kerana mencari rezeki untuk keluarga. Lantas mengukirkan senyuman semanis mungkin agar penat yang dirasakan beransur hilang. Itulah juga rezeki iaitu ketenangan jiwa. Rezeki juga boleh dalam bentuk ilmu pengetahuan, kasih sayang, kebahagiaan, anak, isteri, kesihatan, keselamatan kegembiraan dan seumpamanya.
Dalam hadith riwayat Muslim, Nabi SAW pernah menyebut tentang Sayyidatina Khadijah yang bermaksud, “Aku telah direzekikan cintanya”.
Mendapat jodoh di dunia juga merupakan rezeki yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Bayangkan berapa ramai di luar sana yang ingin berkahwin, tetapi ada sahaja halangan dan rintangannya dan masih gagal untuk menemukannya.
JODOH HILANG, SUSAH NAK CARI
Banyak keluhan dan rintihan para pemuda dan pemudi di media sosial tentang jodoh. Sehinggakan ianya menjadi satu persoalan yang sangat sensitif apabila ditanyakan tentang jodoh. “Dulu ada, tapi dah hilang”, “kereta dan rumah dah ada tapi, tiada yang mahu”, “rupa tidak tampan, siapa yang mahu” dan banyak lagi keluhan yang diluahkan mengenang nasib mencari jodoh. Jodoh itu adalah rahsia Allah SWT, tetapi apabila kita telah mencapai tahap perlu berkahwin maka, berusahalah untuk mencarinya. Oleh itu, ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan untuk mencari pasangan yang baik dan solehah.
- Luaskan Pergaulan
Kaedah ini boleh dilakukan bukan sahaja melalui rakan sekerja bahkan boleh juga melalui seseorang yang baru kita kenali seperti menyertai program-program komuniti, kelas-kelas tambahan luar baik secara atas talian atau bersemuka, aktiviti sukarelawan dan sebagainya. Menjadi seorang yang proaktif memudahkan kita mengenali dan dikenali. Sungguhpun begitu, harus diingati, meluaskan pergaulan tidak menghalalkan batasan yang perlu dijaga. Kehormatan wanita tetap perlu dijaga. Apabila sudah menemui seseorang yang kita minati, nyatakan hasrat untuk berkahwin dan jangan terlalu berharap kerana hati manusia itu mudah berbolak-balik, maka sentiasalah berdoa agar dilembutkan hatinya. Selain itu, jangan terlalu gopoh kerana ditakuti orang tersebut adalah isteri atau suami orang lain. Lebih baik jujur daripada memendam dan akhirnya melepas. Sekiranya ditolak, terus bergerak kehadapan kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya.
- Minta Bantuan Kawan Atau Keluarga
Selain langkah diatas, kita juga boleh meminta bantuan dengan kawan ataupun keluarga. Hal ini kerana, kawan dan keluarga merupakan insan terdekat dan mengenali budi bicara kita. Sudah tentu akan ada calon yang sesuai dengan sikap dan sifat yang ada pada diri kita. Buangkan sikap tidak mahu ditentukan jodoh oleh orang lain. Boleh jadi, apa yang kita inginkan bukanlah yang terbaik untuk diri kita.
- Jangan Terlalu Memilih Atau Mencari Yang Sempurna
Apabila telah mengenali hati dan budi bicara, baik dan buruk, kekuatan dan kelemahan seseorang itu, terimalah dengan seadanya. Jika kita terlalu memilih yang cantik atau yang sempurna, nescaya kita tidak akan berpuas hati dengan pilihan sendiri bahkan boleh merosakkan hubungan. Mencari yang sempurna itu ibarat berjalan di suatu taman yang panjang dengan hasrat untuk memetik bunga yang paling cantik. Sudah tentu kita tidak akan berpuas hati dengan pilihan sendiri kerana sewaktu melewati bunga yang cantik kita merasakan akan ada yang lebih cantik dihadapan ataupun sewaktu dihujung taman kita akan dapati bahawa terdapat lebih banyak bunga yang lebih cantik diawal taman namun ianya telah terlambat kerana orang lain pasti telah memetiknya. Cukuplah kita mengetahui ada satu sifat yang kita cintakan dari seseorang itu untuk mempertahankan segala kekurangan yang ada pada dirinya. Jika kita berusaha untuk memperbaiki diri nescaya kita akan bertemankan pasangan yang soleh dan solehah.
- Cepat Dan Berani
Setelah melalui fasa perkenalan, kaum lelaki haruslah bersikap berani untuk menyatakan hasrat kepada keluarga wanita tersebut. Dengan ini, kaum wanita akan lebih terhormat dan lebih yakin dengan perhubungan yang akan dibina. Seseorang yang melewatkan perkara yang sunnah namun menerima perkara yang haram seperti berduaan, berfoya-foya dan sebagainya, itulah tanda lelaki tersebut sedang mencemarkan dan merosakkan kehormatan wanita itu. Dengan ini, keluarga wanita akan lebih menghormati keputusan yang dibuat dan mengeratkan lagi pertalian yang akan dibina. Bak kata pepatah, “jika ingin berkahwin dengan seseorang, hendaklah dia berkahwin dengan keluarganya”. Meskipun mengalami masalah seperti pekerjaan dan kewangan namun telah diluahkan hasrat kepada keluarga wanita, nescaya kesungguhan itu akan diterima dan tidak akan disia-siakan. Niat yang ikhlas kerana Allah SWT, akan dipermudahkan baginya. Walaupun langkah in lebih cenderung kepada lelaki, tidak bermakna ianya terhalang bagi wanita untuk melakukannya. Jika mampu dan berani, nyatakan sahaja hasrat kepada keluarga lelaki itu.
- Istiqamah Perbaiki Diri
Biasa kita dengari seseorang itu berubah semakin baik setelah bernikah kerana ingin menjaga keturunan. Namun, bagi yang masih belum lagi ditakdirkan untuk bertemu dengan pasangan, teruskanlah istiqamah untuk memperbaiki diri. Perbaiki diri bukanlah suatu amalan yang dilakukan hanya selepas melayari bahtera perkahwinan tetapi ianya adalah tanggungjawab sebagai hamba untuk terus bertaqwa kepada Allah SWT. Kemungkinan jodoh belum sampai disebabkan sikap kita yang boleh merosakkan hubungan itu nanti, hubungan kita dengan Allah semakin renggang, masih mempunyai ibu bapa yang memerlukan khidmat kita dan banyak lagi. Terhalangnya untuk mendapatkan sesuatu juga adalah salah satu tanda rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada kita. Terus bersangka baik dengan Tuhan dan perbaiki diri. Insyaallah, akan dipertemukan jodoh yang baik.
DOA MENCARI PASANGAN
Setelah mengetahui langkah-langkah untuk mencari pasangan, titipkanlah doa agar dipermudahkan dan dilancarkan dalam urusan tersebut. In syaa Allah melalui usaha dan doa itu, Allah akan pertemukan dengan pasangan yang soleh dan solehah. Dinukilkan kepada Syeikh Muhammad Zainul Asri tentang suatu doa yang boleh diamalkan bagi kaum lelaki untuk mendapatkan pasangan wanita yang solehah.
اللّهُم إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَتَزَوَّجَ فَقَدِّرْلِي من النِّساءِ أَحْسَنَهُنَّ خَلْقًا وخُلُقًا طَاعَةً حافِظَةً تُوافِقُنِي وأُوَافِقُهَا وتُغْنِينِي في ديني ودُنْيَايَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku ingin berkahwin maka taqdirkanlah untukku mendapat seorang wanita yang paling elok rupa bentuk, yang paling elok akhlak, yang paling elok ketaatan, yang paling elok penjagaan terhadap dirinya, yang dia sesuai dengan diriku dan aku sesuai dengan dirinya, dan dia mengayakan aku atau memadakan aku didalam agamaku dan didalam dunia.”
Manakala, bagi kaum wanita pula boleh mengamalkan doa dibawah ini untuk mendapatkan pasangan suami yang soleh.
اللَّهُم سَخِّرْلِي زَوْجًا يَخْطِبُنِي ويَتَزَوَّجُ بِي ويَكُونُ صَاحِبًا لِي في الدُّنْيا والجَنَّة
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Mudahkan aku untuk mendapat suami yang soleh yang dia datang meminang aku dan kemudian mengahwini ku dan dia akan menjadi temanku di dunia dan syurga nanti.”
Wallahua’lam.
Rujuk artikel Maulidur Rasul disini.
SAMBUTAN MAULIDUR RASUL : SEMARAK CINTA RASUL
Sudahkah Anda Bersedekah Hari Ini?
Jika belum jom sama-sama dengan SedekahMuslim.com membantu mereka yang dalam kesusahan seperti asnaf, ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik , muallaf, anak yatim dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka