Zakaria merupakan Nabi dan Rasul yang ke-22. Baginda juga adalah keturunan dari Nabi Sulaiman AS.
Nabi Zakaria adalah salah seorang nabi yang diutus di kalangan Bani Israil.
Kisah Nabi Zakaria cukup banyak diceritakan dalam Al- Qur’an. Nama baginda disebut sebanyak tiga belas kali.
Ayuh kita rungkaikan serba sedikit tentang kisah Nabi Zakaria.
KUIZ 1. Siapakah bayi perempuan yang dijaga Nabi Zakaria?
Baginda merupakan biras kepada Imran, seorang sheikh yang sangat alim dan selalu mengimamkan solat di Baitul Maqdis. Isteri mereka merupakan adik beradik.
Pada suatu hari, Isteri Imran telah melahirkan seorang bayi perempuan yang bernama Maryam. Namun bapanya, Imran telah meninggal dunia saat anaknya masih dalam kandungan. Maka Maryam pun dilahirkan sebagai anak yatim.
Oleh kerana itu, beberapa orang alim juga berdebat untuk mendapat hak penjagaan Maryam. Lalu Nabi Zakaria berkata, “Tentulah aku yang paling layak menjaganya kerana aku bapa saudaranya”.
Mereka berasa tidak adil. Lalu mereka membuat cabutan dengan meletakkan pen mereka ke dalam sebuah bekas kemudian memanggil seorang budak untuk mengambil satu pen.
Setelah beberapa kali cubaan serta dengan kuasa Allah juga, pen nabi Zakaria telah tiga kali menang. Maka baginda lah yang berhak menjaga Maryam.
Maryam membesar di mihrab sebagai seorang anak perempuan yang sangat alim, baik, suci, dan sentiasa dikasihi oleh Allah.
KUIZ 2. Mengapa Nabi Zakaria tidak boleh memiliki anak?
Meskipun sudah berkahwin bertahun-tahun, namun mereka belum lagi dikurniakan seorang cahaya mata. Ini juga kerana Isteri Nabi Zakaria mandul.
Baginda sangat menginginkan seorang anak lelaki bagi melanjutkan tugas dakwahnya. Semakin hari semakin kuat juga hasratnya untuk memiliki anak.
Setiap hari Nabi Zakaria tekun beribadah dan berdoa kepada Allah SWT. Seperti yang dikisahkan dalam surah Maryam, yang bermaksud:
“Ya Allah, tulang-tulangku sudah lemah, rambutku sudah putih, namun aku tidak pernah berhenti mengharapkan kebaikan dari-Mu. Dan sesungguhnya aku bimbang akan kaumku dan isteriku pula mandul. Maka kurniakanlah kepadaku zuriat, dari sisi-Mu, yang dapat mewarisi kenabianku dan keturunan Yaakub.”
KUIZ 3. Apakah tanda isteri nabi Zakaria mengandung?
Setelah mendengar doa Nabi Zakaria, Allah SWT pun berfirman :
“Hai Zakaria, sesungguhnya Kami menggembirakan engkau dengan seorang anak namanya Yahya. Belum pernah Kami memberikan nama seperti itu sebelumnya” – Surah Maryam :7
Namun ia masih bertanya, bagaimana ia boleh mempunyai seorang anak, sedangkan ia sudah tua dan isternya mandul.
“Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang setua-tuanya?” – Surah Maryam : 8
Baginda kemudian memohon agar Allah memberi suatu tanda. “Wahai Tuhanku! Jadikanlah satu tanda bagiku (yang menunjukkan isteriku mengandung)”
Lalu Allah Taala berfirman:
” Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam, sedang engkau dalam keadaan sihat”. – Surah Maryam : 9
Selepas tamat 3 hari itu, maka tersebarlah berita bahawa isteri nabi Zakaria iaitu Elisha sedang mengandung walaupun ketika itu nabi Zakaria yang umurnya sudah lanjut.
Lalu isterinya melahirkan seorang bayi lelaki yang turut dikalangan Nabi.
Pengajarannya adalah sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk lakukan apa sahaja. Sekalipun di akal manusia ia tidak logik dan mustahil tetapi tiada yang mustahil bagi Allah itulah “KUN FAYAKUN”.
Yang penting kita seharusnya tidak putus asa dan sentiasa berusaha untuk berdoa serta yakin dalam setiap perancangan-Nya.
Haa nak perkongsian yang lebih menarik dan bermanfaat, jom ikuti Channel telegram » SedekahMuslim.com