Sebut je tentang Dajjal, semua umat Islam akan berasa takut, gerun, menyeramkan, semua lah! Betul tak?
Tak hairanlah, macam-macam gambaran yang kita dah pernah baca dan dengar sebelum ni tentang Dajjal.Tapi betul ke semua apa yang kita dengar sebelum ni tu? Dan tahu tak, ada manusia yang dah pernah melihat Dajjal pada zaman Rasulullah SAW dulu?
Haa, meh kami ceritakan serba sedikit kisahnya. Pastikan baca sampai habis tau!
Dajjal Sudah Dilahirkan dan Telah Dewasa
Kalau nak tahu, Dajjal ni sudah lama dilahirkan dan telah dewasa. Dajjal juga manusia, seorang pemuda yang sempurna tubuh badan dia, macam manusia biasa. Ada tangan, ada kaki, ada dua mata, tapi matanya sebelah kanan buta. Dajjal juga adalah antara makhluk Allah yang dipanjangkan umur dan tak mati sampai sekarang.
Bapa segala Dajjal ada satu je, tapi Dajjal kecil ada 30. Dajjal kecil ni dikatakan tak ada kuasa setanding macam bapa Dajjal. Maksudnya, bapa Dajjal tu lebih menggerunkan.
30 Orang yang Pernah Melihat Dajjal di Atas Muka Bumi
Pada zaman Rasulullah SAW dulu, ada seorang pemuda bernama Tamim Al-Dari. Tamim ni adalah orang Arab, tetapi beragama Kristian. Dia sangat rajin membaca kitab-kitab Yahudi dan Injil. Sehinggakan, dia memiliki pengetahuan yang luas mengenai mitos-mitos yang beredar di dalam kitab tersebut.
Suatu hari tu, Tamim bersama dengan 30 orang daripada Kabilah Lakham dan Judzam menaiki kapal, namun tidak dijelaskan dengan terperinci ke mana destinasi mereka. Bila tiba di tengah-tengah laut, kapal yang dinaiki mereka dipukul ombak kuat. Sehinggakan mereka hilang arah tuju, dan tak tahu pergi ke mana.
Selepas 30 hari berada di tengah lautan, akhirnya mereka sampai di sebuah pulau. Apa yang hairannya, mereka sendiri pun tak tahu pulau tu sebenarnya berada di mana.
Namun tanpa membuang masa, mereka terus membawa turun bot kecil dari kapal besar tersebut. Lalu mereka bergerak ke pulau itu untuk berehat, mencari bekalan air bersih, makanan dan sebagainya.
Ketika mereka sedang berehat, tiba-tiba keluar seekor binatang yang pelik, berbulu lebat yang menutupi seluruh badannya. Binatang itu mendekati mereka dan bertanya; “Siapa kalian?”
Tamim pon menjawab; “Kami pemuda-pemuda beragama Kristian dari semenanjung tanah Arab. Kami keluar menaiki kapal dan di tengah-tengah perjalanan, laut mengganas. Kami dipukul oleh arus selama sebulan, dan akhirnya terdampar di pulau ini.”
Kemudian Tamim pula bertanya; “Siapa kamu?”
“Ana Al-Jassasah.” Jawab binatang itu.
Ada ulama’ menyebut, ia adalah iblis yang berupa menjadi binatang hodoh itu. Tapi bila Tamim bertanya Jassasah itu apa, binatang itu tidak menjawab. Sebaliknya hanya berkata; “Di tengah pulau ada satu orang ini, sudah lama menunggu khabar berita daripada orang lain. Maka orang itu hendak berjumpa kalian.”
Tamim dan 30 orang pemuda tersebut terus tercengang. Tapi mereka semua tetap masuk juga ke tengah-tengah hutan itu.
Akhirnya sampai di satu tempat penahanan, lalu mereka masuk ke dalamnya. Dan sekali lagi mereka terkejut bila melihat di dalamnya tu ada seorang manusia, lelaki, tapi mempunyai tubuh yang besar. Dia bersandar ke dinding gua dalam keadaan kedua tangan dan kakinya diikat dengan rantai besi yang besar, dan tidak boleh bergerak.
Lelaki tu berambut panjang, dan rambutnya keriting yang sangat-sangat keriting. Kemudian lelaki itu bertanya; “Ma antum?” (Kamu semua ni siapa?)
Maka Tamim dan pemuda-pemuda tersebut sekali lagi menjawab pertanyaan itu seperti mana ketika ditanya oleh Al-Jassasah tadi. Kemudian Tamim bertanya kepada lelaki itu siapakah dia. Namun tidak dijawab, sebaliknya Tamim pula yang ditanyakan beberapa soalan oleh lelaki tersebut.
Empat Soalan yang Ditanyakan Oleh Lelaki Tersebut
Antara soalannya adalah:
Soalan 1: Kamu semua tahu tak tentang Tasik Thabariyyah? Bagaimana keadaan tasik itu sekarang?
Tamim menjawab; “Tahu. Air tasik itu masih banyak, ramai orang yang menggunakan air tasik itu.”
Kemudian lelaki itu berkata; “Satu hari, apabila tasik itu hampir kekeringan, maka aku akan keluar.”
Soalan 2: Bagaimana keadaan ladang Baisan? Adakah kurmanya masih berbuah?
“Ya, masih berbuah. Kurmanya juga banyak.” Jawab Tamim.
Lalu lelaki itu berkata; “Satu hari, ladang itu tak lagi keluarkan buah.”
Soalan 3: Bagaimana pula keadaan mata air Zughar? Adakah ia masih memancarkan airnya?
Tamim terus menjawab; “Ya, mata airnya masih memancarkan air dan penduduknya masih bercucuk tanam di situ.”
“Satu hari, ia akan kering.” Balas lelaki itu sekali lagi.
Soalan 4: Adakah Nabi yang tidak pandai membaca dan menulis telah pun diutus?
“Ya, Nabi itu telah diutuskan oleh Allah SWT dan berhijrah daripada Mekah ke Madinah.” Jawab Tamim kepada persoalan tersebut.
Sekali lagi lelaki itu melemparkan soalan; “Adakah dia berperang dan diperangi?”
Lalu Tamim berkata; “Ya, Nabi itu diperangi.”
“Adakah dia menang?” Tanya lelaki itu.
“Ya, setiap kali perang, Nabi itu memang.”
Akhirnya lelaki itu berkata; “Betapa beruntungnya sesiapa yang mengikuti Nabi itu. Dan sesungguhnya hanya kalian saja yang diizinkan oleh Allah untuk sampai ke pulau ini. Manakala aku yang diikat ini adalah Al-Masih ad-Dajjal.”
Dajjal tu juga memberitahu bahawa sudah hampir masanya apabila tanda-tanda yang disebutkan tadi berlaku, maka dia akan dibebaskan oleh Allah SWT.
(Ringkasan secara mafhumnya berdasarkan Hadis Sahih, Riwayat Imam Muslim)
Tamim Al-Dari Memeluk Islam
Setelah peristiwa itu, Tamim datang kepada Baginda Rasulullah SAW lalu berjanji untuk taat setia dan terus memeluk agama Islam. MasyaAllah!
Tamim dikenali sebagai sahabat yang rajin beribadah. Bahkan dia juga istiqamah mengkhatamkan Al-Quran. Tamim juga merupakan salah seorang yang ikut mengumpulkan Al-Quran pada zaman Nabi, selain Ubay bin Ka’ab, Uthman, dan Zaid.
Antara jasa Tamim adalah dia pernah membuat mimbar solat Jumaat untuk Baginda SAW. Ada suatu hari tu, Rasulullah menyampaikan khutbah Jumaat dengan bersandar pada pangkal pohon kurma di masjid sambil berdiri. Sesudahnya Baginda bersabda; “Sesungguhnya khutbah sambil berdiri benar-benar melelahkan aku.”
Bila Tamim mendengar keluhan itu, dia pun segera menemui Rasulullah dan mengusulkan adanya mimbar. Haa, dari situlah tercetusnya idea mimbar tersebut.
Tidak lama selepas itu, Tamim berpindah ke Syam. Kemudiannya ke Palestin sehinggalah dia wafat dan dimakamkan di Bait Jabrin, Palestin.
Haa, itulah serba sedikit tentang kisah Tamim Al-Dari. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripadanya, dan sama-sama kita berusaha untuk meningkatkan lagi tahap keimanan terhadap Allah SWT.
Kalau anda rasa tak cukup dengan artikel ini, dan inginkan perkongsian yang lebih menarik setiap hari, jom subscribes Channel Telegram SedekahMuslim.com sekarang juga!