Mesti pernah kan dalam hidup kita alami satu peristiwa dimana salah seorang dalam keluarga, sahabat kita atau diri kita sendiri yang sakit?
Kalau bukan diri kita yang sakit, pastinya kita pernah menziarahi mereka yang sedang sakit.
Cumanya, ada tak sebelum ni kita perhatikan dahulu adab-adab ketika menziarahi orang sakit ni?
Apa kata kita perhatikan semula adab-adab itu, manalah tahu kan ada yang kita terlupa atau terlepas pandang.
Adab menziarahi orang sakit
Menziarahi orang yang sedang sakit adalah amalan yang kita boleh lakukan bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama muslim.
Rasulullah SAW ada bersabda tentang anjuran dan kelebihan menziarahi orang sakit. Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menziarahi saudaranya kerana Allah nescaya penyeru (malaikat) akan berseru kepadanya: Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga.”
Para ahli ulama telah menggariskan beberapa adab untuk diikuti ketika menziarahi orang yang sedang sakit. Di antaranya adalah:
1) Memilih waktu yang sesuai untuk melakukan ziarah.
2) Tidak mengambil tempoh masa yang lama ketika ziarah.
3) Menundukkan pandangan pada perkara-perkara yang diharamkan.
4) Tidak banyak bertanya atau bercakap.
5) Menzahirkan kebimbangan dan keprihatinan terhadap orang yang sakit.
6) Sentiasa mendoakan yang baik-baik kepada pesakit.
Hukum menziarahi kawan Non Muslim yang sakit
Dalam sebuah hadis daripada Anas RA, beliau berkata:
كَانَ غُلَامٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: أَسْلِمْ”. فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الْحَمْدُ لِلهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Ada seorang budak Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW telah menderita sakit. Maka Nabi SAW menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu menyeru: “Masuklah Islam”. Budak itu memandang kepada bapanya yang berada berdekatannya, lalu bapanya berkata: “Taatilah Abu al-Qasim SAW”. Lantas budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan budak itu dari neraka.”
[Riwayat al-Bukhari (1356)]
Nas hadis ini dengan jelas menunjukkan, menziarahi orang sakit bukan Islam adalah dibolehkan.
Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu’asirah menyebut: Menurut nas hadis-hadis Nabi SAW, menziarahi orang sakit merupakan hak seorang Muslim kepada Muslim lain. Namun ini tidak bermakna pesakit dalam kalangan non-Muslim tidak perlu diziarahi.
Boleh jadi dengan ziarah, hatinya terbuka untuk menerima Islam sebagaimana peristiwa Rasulullah dan kanak-kanak Yahudi yang memeluk Islam pada akhir hayatnya.
In syaa Allah moga-moga dengan akhlak yang ditunjukkan ini menjadi asbab ramai orang bukan Islam berminat untuk memeluk agama Islam.
Daripada amalan menziarahi orang sakit ini juga dapat membuatkan kita menghargai nikmat kesihatan yang diberikan oleh Allah untuk terus melakukan ketaatan dan kebaikan.
Jika anda inginkan banyak lagi perkongsian dan ilmu bermanfaat, klik saja link ni http://SedekahMuslim.com