Pengakhiran kita ada dua saja, iaitu ‘syurga’ atau ‘neraka’. Itu adalah pilihan kita sendiri. Sebab itulah, kita perlu melakukan apa yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang.
Bahkan setiap amalan yang kita lakukan dengan ikhlas dan hanya mengharapkan balasan daripada Allah SWT semata-mata, maka Dia akan memberikan ganjaran yang besar.
Jika kita bersedekah dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan, maka Dia akan bukakan seluas-luasnya pintu rezeki untuk kita.
Jika kita berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, maka Dia akan berselawat kepada kita melebihi apa yang kita lakukan itu.
Antara rahmat Allah ke atas hamba-Nya juga ialah, setiap orang akan masuk syurga melalui pintu amalan yang dilakukan ketika di dunia. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang berinfaq (hartanya) sebanyak dua kali di jalan Allah, maka dia akan diseru untuk masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan.” Sesiapa yang banyak melakukan solat, maka dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad, maka dia akan diseru melalui pintu jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa, maka dia akan dipanggil melalui pintu puasa. Dan sesiapa yang banyak bersedekah, maka dia akan dipanggil melalui pintu sedekah.” (HR. al-Bukhari & Muslim)
Kuiz 1: Apakah nama pintu syurga yang khusus untuk orang berpuasa?
“Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Ar-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka, tidak dibenarkan masuk.” (HR. Ahmad, al-Bukhari & Muslim)
Hadis di atas menjelaskan, pintu syurga yang dikhususkan untuk mereka yang berpuasa dikenali sebagai pintu “Ar-Rayyan.”
Kuiz 2: Ar-Rayyan bermaksud
Ar-Rayyan bermaksud orang yang tidak merasa dahaga. Ia merupakan sifat yang sangat sesuai dengan orang yang berpuasa.
Berkata Izzuddin bin Abd al-Salam dalam kitab fawaid al-Saum: “Adapun dikhususkan kepada mereka memasuki syurga dari pintu Ar-Rayyan kerana keistimewaan ibadat mereka dan kemuliaannya.”
Seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis, bahawa terdapat dua kegembiraan orang yang berpuasa iaitu; kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kegembiraan ketika dia bertemu Allah SWT.
Apa yang dimaksudkan dengan “kegembiraan ketika dia bertemu Allah” adalah ganjaran kebaikan yang akan diperolehnya daripada ibadah puasa yang dilaksanakan itu.
Moga-moga kita juga antara yang terpilih untuk masuk ke syurga melalui pintu amalan puasa, Aamiin.
Bagi anda yang inginkan perkongsian dan kuiz harian yang bermanfaat, bolehlah ke Channel Telegram SedekahMuslim.com