Antara kisah nabi yang selalu kita dengar adalah tentang kisah Nabi Musa, Nabi Yusuf dan Nabi Nuh.
Apa kata kali ni kita tambah ilmu dengan kisah Nabi Hud pula.
Kuiz 1: Kaum Nabi Hud
Nabi Hud diutus untuk memberi peringatan kepada kaumnya iaitu kaum ‘Ad. Kaum ‘Ad adalah keturunan Nabi Nuh yang tinggal di Al-Ahqaf, iaitu suatu wilayah di bukit berpasir Arab.
Suku ‘Ad termasuk suku tertua di dunia dengan peradaban yang maju. Di dalam Surah Al-Fajr disebutkan, kaum ‘Ad memiliki bangunan-bangunan yang tinggi. Allah juga melebihkan kekuatan serta kekayaan kepada kaum ‘Ad ini.
Kuiz 2: Azab yang menimpa kaum 'Ad
Kekayaan yang diberikan pada kaum ‘Ad membuatkan mereka menjadi tamak, lupa diri dan jauh daripada Allah SWT. Mereka mula menyembah berhala yang diberi nama Shamud, Shada dan Al-Haba. Maksiat juga turut bermaharajalela dalam kehidupan mereka.
Kaum ‘Ad semakin kafir hingga membuatkan Allah SWT murka. Lalu, Allah menurunkan awan hitam yang disambut dengan suka cita oleh kaum ‘Ad.
Namun, awan itu bukan awan penanda hujan, sebaliknya awan disertai dengan angin kencang yang membawa bencana.
“Maka ketika mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, mereka berkata, ‘Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kita.’ (Bukan!) Tetapi itulah azab yang kamu minta agar disegerakan datangnya (iaitu) angin yang mengandung azab yang pedih.” (QS Al-Ahqaf; ayat 24)
Angin itu menghancurkan dan melenyapkan kaum ‘Ad di muka bumi. Kemudian mayat kaum ‘Ad berselerakan ditutupi dengan pasir-pasir.
Kuiz 3: Nabi Hud datang membawa tanda-tanda?
Ketika kaum ‘Ad mula melakukan maksiat, Allah pun mengutuskan Nabi Hud untuk memperbaiki akhlak dan kelakuan kaum ‘Ad.
“Dan ingatlah (Hud) saudara kaum ‘Ad iaitu ketika dia memberi peringatan kepada kaumnya di Al-Ahqaf dan sesungguhnya telah terdahulu beberapa orang pemberi peringatan sebelumnya dan sesudahnya (dengan mengatakan): “Janganlah kamu menyembah selain Allah, sesungguhnya aku khawatir kamu akan ditimpa azab hari yang besar.” (QS Al-Ahqaf; ayat 21)
Setelah diangkat menjadi nabi dan rasul, Nabi Hud mula memberi peringatan kepada kaum ‘Ad. Nabi Hud menyeru kepada kaumnya untuk menyembah Allah dengan menunjukkan bukti-bukti keesaan Allah SWT.
Namun, kaum ‘Ad tetap berdusta dan mencaci maki Nabi Hud hingga menggelarkannya sebagai seorang yang gila. Akibat perbuatan yang terlalu melampau, Allah menurunkan azab kepada mereka sebagai balasan.
Begitulah serba sedikit mengenai kisah Nabi Hud dan kaum ‘Ad. Diharapkan dengan kisah ini, kita dapat menjadikannya iktibar untuk sentiasa merasakan diri kita ini adalah hamba kepada Allah SWT.
Kita harus rendah hati kerana setiap apa yang dimiliki ini adalah kurniaan dan nikmat yang diturunkan daripada Pencipta kita.
Jika anda ingin mendapatkan lebih banyak ilmu agama dan kuiz-kuiz yang menarik, cepat-cepat ikuti Channel Telegram SedekahMuslim.com