Marah adalah satu perasaan yang wujud secara semulajadinya dalam diri setiap manusia. Lebih mudah difahami bahawa ia merupakan satu ekspresi spontan yang muncul ketika kita disakiti, dizalimi atau menghadapi sebarang masalah.
Biasakan kita tengok seseorang tu marah-marah disebabkan berlakunya sesuatu yang tidak menyenangkan bagi dirinya. Misalnya jika kita penat-penat beratur di plaza tol, tiba-tiba ada kereta lain datang memotong, pastinya perasaan masa tu sangat marah. Betul tak?
Jika tak dikawal, maka dari situlah boleh membawa kepada pergaduhan dan sebagainya. Jadi, mari kami kongsikan beberapa tips yang ‘mujarab’ untuk mengawal kemaharan.
Kuiz 1: Tips kawal kemarahan ikut cara Nabi SAW
Terdapat beberapa pesanan Baginda SAW untuk kita lakukan sewaktu sedang marah. Antaranya adalah:
- Duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk
- Mengambil wudhuk
- Mengelakkan daripada membuat sebarang keputusan besar
- Lebih baik diam daripada mengeluarkan perkataan yang tak elok
Mengawal kemarahan adalah satu sikap yang amat terpuji dan dituntut. Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran, Surah Ali Imran ayat 134, yang mana menyifatkan beberapa ciri orang yang bertaqwa:
الذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ
Maksudnya: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.
Daripada firman Allah SWT tersebut, dapat dilihat bahawa menahan kemarahan juga adalah termasuk daripada salah satu ciri-ciri orang yang bertaqwa. Masya-Allah!
Kuiz 2: Kenapa kita dianjurkan berwudhuk jika sedang marah?
Jika sedang marah, lebih baik kita ambil wudhuk dan tenangkan diri seketika. Biarkan dulu kemarahan kita itu reda.
Namun kenapa dianjurkan berwudhuk?
“Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwudhuk.” (Sunan Abi Daud; 4784)
Kuiz 3: Antara rasa amarah yang dibenarkan oleh syarak
Rasa amarah dianggap sebagai satu perasaan yang negatif. Namun dalam beberapa keadaan, rasa amarah itu dibenarkan oleh syarak. Antara contoh keadaannya adalah:
- Rasa marah apabila agama Islam dihina
- Rasa marah apabila berlakunya kezaliman dan penindasan ke atas golongan yang lemah
Namun rasa amarah itu tetap perlu dikawal dan disalurkan melalui jalan yang betul. Kita tidak boleh membiarkan rasa marah itu menguasai diri kita dan seterusnya membawa kepada tindakan yang tidak sepatutnya.
Sekarang anda dapat sesuatu tak dari perkongsian di atas?
Betul, adakalanya hati kita ni rasa membara je, rasa nak marah je, lebih-lebih lagi bila sesuatu perkara itu terjadi tidak mengikut apa yang kita inginkan.
Namun sebagai umat Islam, kita perlu didik diri kita untuk menjadi seorang lebih sabar menempuhi apa jua keadaan sekalipun. Boleh bayangkan tak kalau tak ada rasa sabar dalam diri? Haa cuba anda fikir-fikirkan.
Jika anda mahukan perkongsian yang lebih menarik setiap hari, ayuh join Channel Telegram SedekahMuslim.com