Trend lawak jenaka yang mempermainkan agama dilihat semakin berleluasa. Semakin hari, semakin tenat keadaan umat manusia sekarang ini. Langsung tidak tahu membezakan mana yang boleh dijadikan bahan jenaka atau sebaliknya.
Beberapa bulan lepas, tular video persembahan lawak pentas di sebuah kelab oleh seorang wanita yang berpakaian menjolok mata sambil mengatakan beliau seorang yang berbangsa Melayu, beragama Islam dan mendakwa telah menghafal 15 juzuk Al-Quran.
Namun wajarkah keadaan tersebut berlaku? Dan apakah pula hukumnya bagi golongan yang berjenaka sehingga mempersendakan agama ini?
Kuiz 1: Hukum orang yang berjenaka dan mempersendakan agama
Allah SWT berfirman dalam Surah al-An’am:
وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ
Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji).
(Al-An’am: 70)
Daripada firman Allah SWT tersebut, dapat dilihat bahawa menjadikan agama sebagai bahan gurauan dan jenaka adalah dilarang sama sekali. Lebih-lebih lagi jika ia dibuat bertujuan untuk mengikuti trend terkini, di samping meraih tontonan dan bilangan “likes” yang banyak.
Bergurau senda secara keterlaluan sehingga mempermainkan agama juga merupakan satu dosa besar. Allah SWT telah menjanjikan azab yang amat perit kepada golongan ini.
Kuiz 2: Perbuatan bergurau senda dalam sesuatu ibadat
Baru-baru ini juga timbul satu lagi isu viral di platform media sosial terutamanya di aplikasi Tiktok yang mana memaparkan anak-anak muda yang sedang bersolat bersama ‘pasangan mereka’. Namun pasangan tersebut bukanlah suami atau isteri, sebaliknya hanya sebuah kipas yang dipakaikan telekung atau pakaian solat lelaki bagi menunjukkan kipas tersebut adalah imam atau makmum mereka.
Meskipun nampak sekadar gurauan saja dan content tersebut telah pon meraih bilangan “likes” yang banyak dari kalangan netizen, tetapi persoalannya tetap sama, “bolehkah sesuatu ibadat itu dijadikan bahan gurauan sedemikian rupa?”
Berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Ankabut ayat 65, yang bermaksud:
Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”
(Al-Ankabut: 65)
Oleh itu, jelaslah bahawa agama Islam juga turut melarang umatnya dari melakukan sesuatu gurauan dalam ibadat. Ini kerana, ia termasuk dalam mempersendakan ayat-ayat Allah.
Manakala menurut Imam al-Tabari pula, beliau menyifatkan bahawa golongan yang sering mengejek dan bermain-main dengan ayat-ayat Allah ini merupakan golongan munafik.
Kuiz 3: Etika dalam bergurau senda atau berjenaka
Dalam pada kita hendak bergurau senda, terdapat juga beberapa etika atau adab dalam yang perlu kita jaga. Antaranya adalah:
- Tidak melampaui batas dan meninggalkan kewajipan.
- Tidak menjadikan maruah seseorang itu sebagai bahan gurau senda.
- Tidak menipu atau bercakap bohong tentang sesuatu perkara.
- Tidak mempermainkan syiar agama.
Tidak salah untuk bergurau senda atau berjenaka sekalipun, namun jangan sampai tergadainya maruah diri dan agama pula dipijak-pijak.
Orang yang suka mempersendakan agama adalah orang yang hatinya cintakan keduniaan semata-mata. Justeru, kita perlulah berhati-hati dalam setiap tingkah laku seharian agar tidak terjerumus ke dalam lembah kekafiran.
Bagi anda yang ingin mendapatkan perkongsian harian yang bermanfaat, bolehlah sertai Channel Telegram SedekahMuslim.com